HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 November 2009

'Jais halang sejak saya mufti lagi'

Jimadie Shah Othman


Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa, beliau satu-satunya tokoh agama yang tidak dibenarkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberikan ceramah agama di negeri itu walaupun ketika menjadi mufti dua tahun lalu.

Bekas mufti Perlis itu mendakwa, kecuali dirinya, Jais membenarkan mufti negeri-negeri lain memberikan ceramah dan mengajar agama di Selangor.

“Saya lihat, adanya surat yang dikeluarkan pihak Jais semasa saya menjadi mufti. (Surat itu menyebut) semua mufti dibenarkan berceramah di negeri selangor kecuali mufti Perlis.

“Saya tidak tahu bila surat itu dikeluarkan, tetapi ia ditunjukkan kepada saya,” kata Dr Mohd Asri yang enggan menamakan pihak terbabit.

Oleh itu, beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya konspirasi terhadapnya - yang membawa kepada penangkapan kerana mengajar tanpa tauliah Ahad lalu - bermula sejak beberapa tahun lalu.

Dr Mohd menjadi mufti Perlis mulai penghujung tahun 2006 sehingga November tahun lalu.

Ahad lalu, Dr Mohd Asri yang ditangkap Jais ketika berceramah di sebuah banglo di Hulu Kelang Ahad lalu, atas alasan mengajar tanpa tauliah.

'Perasaan tak puas hati'

Dalam wawancara dengan Malaysiakini pagi ini, Dr Mohd Asri bagaimanapun berkata, beliau tidak tahu motif sebenar di sebalik penangkapannya.

Bagaimanapun, beliau mengesyaki, perasaan tidak puas hati beberapa pihak terhadapnya berpunca daripada beberapa kenyataan kontroversinya sebelum ini, seperti mengkritik operasi mengintip pasangan berkalwat dan membolehkan penggunaan nama Allah di kalangan bukan Islam.

“Kalau berpunca daripada perbezaan aliran, ia sangat dukacita ketika dunia kini bercakap soal percambahan fikiran. (Ajaran) agamakah itu?”

Katanya, terdapat segelintir ahli agama yang “rakus kuasa” dan tidak selesa dengan perubahan yang hendak diperkenalkannya.

“Kerajaan yang larang rakyat berbeza pandangan (dengannya) adalah kerajaan yang rakus kuasa. Orang agama yang larang orang berbeza pandangan dengan mereka adalah puak yang rakus kuasa.

“Ini adalah perkara yang menjijikkan dalam agenda hidup manusia,” katanya penysarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

"Orang yang anti-perubahan adalah orang yang ada kepentingan. Dia bimbang pada pandangan baru,” katanya.

'Cerita detik ditangkap'

Diminta menjelaskan asas tuduhannya bahawa terdapatnya konspirasi untuk menjatuhkannya, Dr Mohd Asri berkata:

“Kalau mereka (Jais) datang tiga orang, saya kata (akui) itu prosedur. Ini (mereka) datang dengan berpuluh-puluh (anggota) polis. Kereta saya (naiki ke balai) itu diiring depan dan belakang sebagaimana penangkapan (pengganas terkenal) Nordin Mat Top. Ini sungguh dahsyat,” katanya.

Dr Mohd Asri berkata, beliau juga hendak digari pada malam itu tetapi polis bertolak ansur selepas berunding dengan beberapa peguam dan dua wakil rakyat pembangkang - Shaari Sungib (ADUN PAS Hulu Klang) dan (ahli parlimen PKR Ampang) Zuraida Kamaruddin = yang turut menghadiri ceramahnya.

“Ini tidak masuk akal,” kata Dr Mohd Asri yang dikaitkan dengan ajaran Wahabi.

Mengulas bantahan Persatuan Peguam Shari'e Malaysia (PGSM) terhadap perlantikannya sebagai yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Mohd Asri berkata, ia tidak menggambarkan pendirian keseluruhan ahlinya.

“Saya tidak fikir NGO Islam berpakat untuk berbohong,” katanya merujuk kepada tuduhan yang beliau telah mencerca tokoh agama terkenal Islam dan menolak solat hajat.

“Tetapi saya dengar ramai rakan daripada Jemaah Islam Malaysia (JIM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang tidak puas hati dengan memorandum itu. Saya lihat ini tindakan individu tertentu,” katanya.

Memorandum bantahan

Menurutnya, presiden Jemaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin pernah menemuinya berhubung cadangan pelantikannya sebagai yang dipertua Yadim.

Bagaimanapun, katanya, ketika itu beliau masih belum mendapat tahu mengenai tindakan NGO berkenaan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, membantah cadangan pelantikannya itu.

Berhubung cadangan pelantikannya sebagai yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), bekas mufti Perlis itu berkata, ia merupakan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri.

Dr Mohd Asri berkata, beliau menjangka pemilihannya itu dibuat perdana menteri berdasarkan penglibatannya dalam banyak program keagamaan termasuk yang dianjurkan oleh pemimpin-pemimpin politik kerajaan.

Beliau bagaimanapun menafikan bekas menteri besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim- yang dilihat begitu rapatnya - adalah 'political master' kepadanya.

“Kalau dia 'political master' saya, sudah tentu saya sudah masuk Umno,” katanya sambil ketawa.

Semalam, Dr Shahidan dilaporkan membuat laporan polis berhubung memorandum PGSM dan kenyataan seorang pegawai kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) berhubung isu kelayakan Dr Mohd Asri.

1 ulasan:

MANSOR JUNUS berkata...

Pemikiran sebahagian besar dari ulama2 yang ada dalam pentadbiran hari ini masih berada dalam pemikiran dekad dulu. Tak kurang juga yang berserban bisu. Banyak isu2 yang melanda masyarakat Islam mutaakhir ini tidak diberi perhatian yang sewajarnya. Ramai yang balut serban untuk sembunyi temolok sahaja. Diantara tokoh2 yang termasuk dalam mangkuk ini ialah Mufti Perak dan Bekas orang kuat YADIM yang melenting sangat sekarang. Bilamana timbul seorang yang tiba2 lebih kritis dan menonjol macam Dr Asri, mereka sudah rasa tidak selesa.

Pada pandangan saya banyak perkara2 lain yang boleh mereka lakukan sebagai Ulama dan Penguatkuasa Kerajaan. Contohnya:

1. Nasihatkan Kementerian yang berkenaan supaya tidak membenarkan pembantu2 rumah yang beragama Islam bekerja dengan majikan bukan Islam. Banyak cerita2 yang menyayat kita sering dengar.

2. Tegur agensi2 yang berkaitan supaya tidak membiarkan program2 TV dan Radio terlalu galak macam hari ini. Hiburan, realiti, hiburan, realiti tida ada yang lain. Waktu maghrib cerita kartun, maka terjadilah kanak2 lebih suka mengadap TV dari mengadap kiblat. Akibatnya kita semua sudah maklum, anak2 siapakah yang paling ramai rusak dan terbabas.

3. Cara2 berpakaian belia2 Islam masa kini juga sudah jauh terlajak. Ada yang nampak pakai tudung, tetapi berseluar ketat, nampak perut. Yang lelaki pula seluar mereka terkoyak dilutut, terkoyak dipaha. Ternyata mereka tiada bimbingan langsung dari sesiapa pun tentang adab berpakaian. Kejahilan ibu bapa juga mungkin menyebabkan mereka begitu. Tetapi kalaulah tiada juga teguran dari mufti2 atau agensi agama yang lain, habislah. Macam kata pepatah, guru kencing berdiri, murid kencing berlari.

4. Saya pernah terlibat secara tidak langsung dengan PERKIM dalam perkara berkaitan dengan berdakwah kepada masyarakat orang2 Asli. Caca merba. Peruntukan lambat, peruntukan tak cukup, pendakwah2 tak komited, tak sanggup masuk hutan, macam2 problem. Dah kerja pun macam lepas batuk ditangga sahaja. Kesudahannya, yang mendekati mereka ialah pendakwah2 dari agama lain.

5. Terdapat juga remaja2 Islam yang berpeleseran dan terbiar dimerata tempat. Sebahagiannya telah terpancing oleh pendakwah kristian. Sudah tentu ini kerja mudah bagi mereka. Setakat manakah JAIS atau mana2 badan yang ber- kaitan sensitif dalam perkara ini.

6. Purata 20,000 orang menganut agamaa Islam tiap2 tahun di US. Itu di negara musuh Islam. Di Malaysia macam mana. Apa rekod yang kita ada, sedang negara dan kerajaan kita adalah 'Islam'.

7. Di UK, beberapa enakmen dalam Hukum Sharia telah dimasukan dalam undang2 negara tersebut, mematuhi tuntutan masyarakat Islam di sana. Bahkan terdapat padri2 yang turut menyokong langkah tersebut. Tetapi di Malaysia sebaliknya berlaku, kerajaan kita pula yang phobia dengan hukum2 agama sendiri. Ada kes sebat minta tangguh la... minta rayuanlah... macam2 lagi. Suara JAIS, suara Mufti tak kedengaran.

8. Dalam isu 'Logo Halal' pun sama, tiada penguatkuasaan yang berkesan. Merata tempat ada logo tersebut. Kedai nasi ayam hainan pun ada. Saya juga pernah bangkitkan keraguan dalam kaedah penyembelihan ayam yang dibekalkan ke pasar2 borong dengan MAIK (Kedah), dimana hanya sebahagian sahaja yang disembelih oleh orang Islam. Tetapi tiada tindakan sampai sekarang.

9. Saya juga pernah melapurkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan tentang 'scroll' yang tertulis ayat2 suci yang diimpot dari Cina, di jual di merata kedai borong bukan Islam. Ada yang bersepah2 diatas lantai kerana kekurangan tempat. Ada yang kena pijak. Nama kedai pun saya beri. Tetapi tiada siapa peduli.

Banyak lagi kalau saya nak sebutkan yang boleh mereka ini main peranan, tetapi ternyata kedangkalan dan 'ego' masing2 telah menggelapkan akal dan fikiran mereka.

Banyak yang Islam duduk dalam serban sahaja. Cukup tahun minta tambah bonus.