HALAMAN SANTAI

Selasa, 3 November 2009

Jemaah disaran simpan tenaga hadapi hari wukuf

Oleh Marzuki Yusoff


DR. AHMAD Faudzi Yusoff (kiri) bersama Pengarah Hospital Aziziah, Dr. Mat Nor Karim (kanan) dan Pegawai Penyelaras Rombongan Haji Malaysia, Abdullah Talib memeriksa bahagian farmasi hospital itu di Mekah, semalam.

MEKAH 2 Nov. – ‘‘Simpan tenaga untuk hari wukuf.” Itulah nasihat pakar perubatan, Dr. Ahmad Faudzi Yusoff kepada para jemaah haji Malaysia bagi mengelak mereka menghadapi masalah dalam menyempurnakan ibadat haji.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia (Perubatan) berkata, terlalu banyak tenaga fizikal dan spiritual akan digunakan oleh jemaah haji ketika berhimpun di Padang Arafah, Muzdalifah dan Mina pada hari wukuf yang dijangka bermula pada 26 November ini.

Berdasarkan pengalaman terdahulu, kata beliau, banyak daripada kes jemaah haji sakit atau hilang stamina kerana terlalu banyak melakukan ibadat sunat ketika berada di Masjidil Haram sehingga mereka lupa kepada amalan rukun yang menunggu mereka pada hari wukuf.

‘‘Sebahagian jemaah haji kita berusia lebih 50 tahun. Apabila banyak tenaga mereka gunakan untuk amalan sunat jadi apabila tiba hari wukuf, mereka sudah hilang stamina atau tenaga sehingga ramai ketika itu jatuh sakit terutama yang sudah ada penyakit seperti kencing manis atau sakit jantung,” katanya.

Bercakap kepada pasukan media Tabung Haji ketika melawat Hospital Aziziah di sini, hari ini, Dr. Ahmad Faudzi berkata, bagi jemaah yang berpenyakit kencing manis atau jantung, ‘musuh’ utama mereka bukannnya penyakit yang mereka hadapi tetapi sebenarnya bergantung kepada sikap.

Beliau memberi contoh jika mereka tidak terlalu terikut-ikut dengan sikap sesetengah jemaah yang berlumba-lumba mahu mengerjakan amalan sunat seperti umrah dan mengabaikan pengambilan ubat sejak tiba di tanah suci, maka potensi untuk mereka jatuh sakit atau hilang stamina pada hari wukuf kelak semakin besar.

Mengenai kes-kes yang paling banyak ditangani oleh Hospital Aziziah dan klinik-klinik perubatan Tabung Haji, beliau memberitahu sebanyak 70 peratus kes membabitkan penyakit berkaitan dengan paru-paru atau pernafasan seperti batuk dan selesema.

Selain itu, tambahnya, jemaah juga kerap terdedah dengan sakit sendi dan perkara ini merupakan perkara yang selalu dihadapi oleh jemaah berusia 50 tahun ke atas dan warga emas.

Menurut Dr. Ahmad Faudzi, perubahan cuaca di tanah suci juga memudahkan jemaah untuk menghadapi penyakit berkaitan kulit seperti pecah mulut, gatal-gatal dan sebagainya.

Menyentuh mengenai jumlah petugas perubatan di tanah suci ini, beliau berkata, sekarang ini petugas perubatan beroperasi di Madinah, Mekah dan Jeddah.

Apabila kesemua jemaah memasuki Mekah, jelasnya, operasi perubatan akan digerakkan secara aktif melibatkan petugas seramai 256 orang.

‘‘Ini termasuk 40 doktor dan empat doktor pakar. Pegawai-pegawai perubatan ini akan dibantu oleh petugas lain termasuk jururawat terlatih, pembantu perubatan dan lain-lain lagi,” ujarnya.

Tiada ulasan: