HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 November 2009

Ikan tercemar punca wabak taun

Oleh Shaarani Ismail


KUALA TERENGGANU: Air yang tercemar di beberapa kilang ais serta ikan yang digunakan untuk membuat keropok dicemari kuman `vibrio cholera', dikenal pasti sebagai antara punca penularan wabak taun di negeri ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata keputusan makmal mendapati sampel ikan yang diambil dari dua kilang keropok di negeri ini positif kuman taun yang turut berkemungkinan berpunca daripada ikan tercemar dibawa masuk dari Thailand.

“Ini mungkin berlaku melalui Kompleks Perikanan Chendering yang membekalkan ikan ke daerah Kuala Terengganu dan Marang. Selain itu, sampel ayam mentah diambil dari Pasar Borong Gong Pauh di Wakaf Mempelam dan sampel di dua kilang ais juga positif kuman berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat pesakit yang dijangkiti wabak itu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, semalam bersama Pengarah Kesihatan negeri, Dr Nordiyanah Hassan.

Liow berkata, penyakit taun di negeri ini yang mula dikesan dua minggu lalu adalah serius kerana setiap hari pihak hospital menerima pesakit baru, termasuk 85 kes cirit birit akut (AGE) yang dimasukkan ke wad semalam.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kes AGE yang dimasukkan ke wad setakat ini 621 kes, manakala jumlah pesakit yang dibenarkan keluar hospital adalah 161 orang, iaitu 16 kes positif dan 145 kes negatif.

Sehingga jam 7 pagi semalam, katanya, 482 pesakit masih dirawat di hospital, iaitu 322 orang disyaki AGE, 138 kes disahkan kolera dan 22 lagi pembawa, manakala satu kes yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi seperti dilaporkan akhbar, kelmarin kini sudah stabil dan dipindahkan ke wad biasa.

Sambil sambil mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil mudah penyakit itu kerana ia boleh membawa maut atau menyebabkan penyakit buah pinggang jika tidak dirawat segera, Liow berkata, setakat semalam, seramai 1,338 kontak sudah diperiksa, termasuk 163 pengendali makanan di seluruh negeri.

“Sementara itu, 115 premis turut diperiksa dan 20 daripadanya diarahkan tutup kerana tidak memenuhi tahap kebersihan ditetapkan, termasuk 11 kilang ais yang gagal mematuhi Akta Makanan 1983 dan Akta Kawalan Penyakit 1988.

“Jabatan Kesihatan negeri sudah mengambil langkah pencegahan dan kawalan bagi memastikan tiada penularan penyakit ini ke kawasan lain. Semua premis

yang diarahkan tutup sudah diberi amaran dan jika gagal mematuhi peraturan, saman boleh dikeluarkan,” katanya.

Liow berkata, Jabatan Kesihatan negeri juga sudah mengambil pelbagai langkah pencegahan termasuk menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh di premis makanan sejak kes taun mula dilaporkan, mengambil sampel air dan makanan untuk ujian kuman serta memasukkan klorin di beberapa kawasan punca air.

“Kita juga membuat hebahan awam mengenai langkah pencegahan penularan wabak ini melalui pengedaran risalah dan poster serta khutbah Jumaat,” katanya.

Tiada ulasan: