Mohd Rizal didapati bersalah rogol gadis bawah umur
Oleh Jaafar Mulup
KUALA PILAH: Mahkamah Sesyen di sini, semalam, menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 90 tahun dan 60 sebatan terhadap seorang lelaki selepas didapati bersalah atas tuduhan merogol seorang gadis bawah umur di Bukit Rokan, Gemencheh, tahun lalu.
Hakim Mabel S Muttiah menjatuhkan hukuman maksimum penjara, iaitu 30 tahun dan 20 sebatan terhadap setiap tuduhan yang berjalan berasingan terhadap tertuduh, Mohd Rizal Mohd Ghazalli, 33, dari Taman Seri Kelemak, Alor Gajah, Melaka berkuat kuasa tarikh tangkap pada 6 November 2008.
Mabel berkata, hukuman itu sebagai pengajaran kepada tertuduh supaya insaf dan bertaubat kerana jenayah rogol terhadap mangsa bawah umur semakin meningkat dan membimbangkan masyarakat.
Mohd Rizal dituduh merogol mangsa yang ketika itu berumur 15 tahun 10 bulan sebanyak tiga kali pada jam 1.35 pagi, 3.05 pagi dan 5.05 pagi pada 22 Oktober tahun lalu di sebuah ladang getah di Bukit Rokan, Gemencheh.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum hingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mengikut keterangan saksi di mahkamah tertuduh bersama seorang lelaki lain menaiki sebuah kereta memintas van dinaiki mangsa bersama dua lelaki lain yang ketika itu dalam perjalanan mengambil pekerja kilang di Tangkak, Johor, jam 1 pagi.
Tertuduh mendakwa seorang anggota polis dan menggunakan senjata pisau memaksa mangsa menaiki kereta itu lalu dibawa ke tempat kejadian.
Pemeriksaan fizikal di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, mendapati selain kecederaan pada kemaluan, mangsa mengalami kesan lebam pada lengan kanan, luka pada bibir kiri akibat ditampar dan kesan gigitan pada payu dara kanan.
Timbalan Pendakwa Raya, Ana Rozana Mohd Nor, sebelum itu meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat terhadap tertuduh demi memelihara kepentingan awam.
"Mangsa sepatutnya mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini, tetapi beliau tidak dapat menduduki peperiksaan penting itu kerana mengalami trauma itu walaupun kejadian itu sudah setahun berlalu, " katanya.
Mohd Rizal yang bekerja kampung dan tidak diwakili peguam pula merayu diringankan hukuman dengan alasan dia mempunyai dua orang anak dan mendakwa tidak mendapat pembelaan sewajarnya kerana tidak tahu membaca dan menulis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan