Halaman

Ahad, 22 November 2009

Kerajaan teliti semula operasi Yadim

Oleh Azman Mahmood


KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti semula semua operasi Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim), termasuk berkaitan perniagaan dan pelaburannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Jamil Khir Baharom.

Katanya, langkah akan diambil itu bagi menjadikan Yadim badan yang mampu menjadi antara nadi penggerak penting kepada kemajuan dan pembangunan ummah di negara ini.

Jamil Khir berkata, berikutan perkembangan terbaru apabila kerajaan meletakkan Yadim di bawah kelolaannya, beliau akan memastikan program yang dirancang sebelum ini akan diteruskan.

“Perkara berkaitan operasi dalaman dan bidang perniagaan seperti pelaburan dalam dan luar negara akan dilihat semula. Untuk itu, saya akan mendapatkan taklimat lanjut daripada Yadim selepas pulang dari Makkah.

“Saya juga sudah mengadakan pertemuan dengan kakitangan Yadim dan mendengar taklimat pertama

daripada Ahli Lembaga Pemegang Amanah yayasan itu Khamis lalu,” katanya ketika dihubungi sebelum berangkat ke Makkah untuk menunaikan haji, semalam.

Difahamkan Yadim kini diletakkan di bawah kelolaan Jamil Khir selaku Yang Dipertua untuk sementara waktu selepas bekas Yang Dipertuanya, Datuk Nakhaei Ahmad ditamatkan perkhidmatan pada 1 November lalu, lebih awal berbanding tempoh sepatutnya pada 2012.

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang dikaitkan dengan tawaran jawatan itu sebelum ini mempersoalkan tindakan Nakhaie yang didakwa ingin membeli aset bernilai jutaan ringgit termasuk di Indonesia dan menghalang akaun Yadim diaudit.

Mengenai kekosongan jawatan Yang Dipertua Yadim, Jamil Khir berkata, perkara itu juga akan diberi perhatian.

Sementara itu, Nakhaei ketika dihubungi, berkata pembelian aset ketika dia menjadi Yang Dipertua Yadim membabitkan bangunan pejabat yayasan itu di beberapa negeri dalam Malaysia, bukan di luar negara.

Beliau berkata, pembelian bangunan itu juga supaya Yadim tidak perlu menyewa yang boleh meningkatkan kos perbelanjaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.