HALAMAN SANTAI

Isnin, 2 November 2009

Koperasi sekolah jual pakaian pelajar tahun depan

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Semua 2,090 koperasi sekolah di seluruh negara dicadang menjual pakaian dan kelengkapan pelajar bermula tahun depan. Langkah itu yang boleh dilaksanakan dengan kerjasama beberapa pihak termasuk Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) bertujuan mempelbagai aktiviti dan jualan koperasi sekolah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beberapa koperasi sekolah di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka telah mula menjual beg dan kasut.

"Saya yakin penjualan pakaian dan kelengkapan sekolah ini akan mendapat sambutan dan kita akan membantu mendapatkan bekalan dengan harga borong yang sama dengan harga di kedai pakaian borong di luar," kata beliau.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Anugerah Hari Koperasi Sekolah (HKS) dan Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) 2009 di sini hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Angkasa, Prof. Dr. Ali Baharom, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat dan Pengarah Bahagian Sukan, Seni dan Kokurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia, Jame Alip.

Dalam pada itu menurut Ismail Sabri, pihaknya akan meminta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menambah peruntukan daripada RM1,000 kepada RM2,000 kepada setiap koperasi sekolah yang menyertai aktiviti HKS dan PKS tahun depan.

Beliau berkata, pada tahun ini, hampir 1,500 koperasi sekolah telah menyertai aktiviti HKS dan PKS malah kerajaan melalui SKM telah meluluskan permohonan bantuan berjumlah hampir RM2 juta kepada 108 koperasi sekolah tahun lalu.

"Jadi dengan tambahan sumbangan yang diberikan daripada RM1,000 kepada RM2,000 untuk aktiviti HKS dan PKS, saya harap ia akan menambah lagi hasil dan pencapaian koperasi sekolah," tambahnya.

Sementara itu, pada majlis sama Koperasi Sekolah Menengah Mak Lagam Berhad, Terengganu yang mengusahakan tanaman cendawan tiram diumumkan pemenang Anugerah Projek Terbaik dan memenangi pakej lawatan ke luar negara bernilai RM15,000 tajaan Bank Rakyat.

Tiada ulasan: