BERNAMA
Mayat seorang bayi dengan kepalanya terdapat kesan gigitan haiwan ditemui terapung oleh seorang pekerja warga Indonesia di sebatang sungai di Batu 4, Kampung Sementa, Kapar di Kelang petang ini.
Ketua Polis Daerah Klang ACP Mohamad Md Yusof berkata mayat bayi yang belum diketahui jantina itu ditemui dalam keadaan bogel kira-kira pukul 3.30 petang di sungai yang terletak di belakang kediaman ADUN Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil.
"Pekerja Indonesia yang dikenali sebagai Budi ternampak mayat bayi itu terapung ketika sedang membaiki tembok belakang rumah majikannya (Abdul Rahman).
"Budi kemudian menarik mayat bayi itu ke tepi tebing sungai untuk mendapatkan kepastian dan kemudian terus menghubungi pihak polis," katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohamad berkata siasatan awal mendapati bayi yang dipercayai berusia lebih seminggu itu telah mati sebelum mayatnya dibuang ke dalam sungai dan ketika ditemui kakinya dalam keadaan berlipat ke badan menyebabkan jantinanya masih belum diketahui.
Katanya mayat bayi itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang untuk dibedah siasat.
Mohamad berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.