BERITA HARIAN ONLINE
KANGAR: Pegawai Imigresen wanita yang dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, atas tuduhan khalwat bersama seorang lelaki bukan Islam pada 30 September lalu, mengulangi pengakuan tidak bersalahnya di mahkamah sama, semalam.
Pengakuan dibuat Harlina Harun, 31, sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 9 Enakmen Jenayah Syariah negeri Perlis itu dibacakan semula ke atasnya di hadapan Hakim Azzieman Omar.
Harlina yang hadir berbaju kurung dan bertudung serba hitam kelihatan tenang ketika mengulangi pengakuannya itu, sebelum meminta dibicarakan.
Bagaimanapun, prosiding kes terpaksa ditunda ke tahun hadapan selepas peguam tertuduh, Zulmi Sabri, memaklumkan mahkamah mengenai kegagalan pihak pendakwa mengemukakan kertas pertuduhan kepada pihaknya.
"Saya kurang jelas apakah dakwaan yang dikenakan ke atas anak guam saya kerana sehingga kini saya masih belum menerima kertas pertuduhan daripada pendakwa, walaupun berulang kali meminta sejak 28 Oktober lalu," katanya.
Pegawai Pendakwa Syarie, Fakhrurrizi Md Mahathir, ketika diminta menjelaskan isu berkenaan kemudian mengakui kegagalan itu berpunca daripada pihaknya.
“Kekalutan itu timbul disebabkan Ketua Pendakwa Syarie, Mustafa Kamal Mohd Taib, yang sebelum ini mengendalikan kes berpindah ke Langkawi, Kedah menyebabkan urusan penyerahan kertas pendakwaan kes tertangguh,” katanya.
Hakim selepas meneliti kes kemudian menetapkan 10 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.