Halaman

Ahad, 1 November 2009

'Pulihkan segera keyakinan terhadap sistem kehakiman, SPRM dan polis'

Jimadie Shah Othman


Gerakan - salah sebuah parti komponen BN - menegaskan bahawa amat perlunya pemulihan secepat mungkin keyakinan rakyat terhadap tiga institusi utama dalam kerajaan - sistem kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

Presidennya, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata langkan itu amat perlu selain daripada memperbaiki sistem penyampaian sektor awam.

Berucap di persidangan perwakilan nasional Gerakan ke-38 di ibunegara hari ini, beliau berkata, penubuhan suruhanjaya pelantikan kehakiman (JAC) satu permulaan yang baik.

"Kami juga mengalu-alukan tindakan Ketua Hakim Negara baru-baru ini dalam menambahbaikkan prosedur mahkamah dan bercadang menyingkir hakim-hakim yang berprestasi rendah.

"Walau apapun, banyak lagi harus dilakukan," tambah Dr Koh. Persidangan tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr Koh berkata, dengan program transformasi kerajaan (GTP) memberi fokus kepada pencegahan gejala rasuah dan jenayah sebagai dua bidang keberhasilan utama nasional (N-KRA) yang penting, institusi seperti SPRM dan Polis harus belajar dari insiden dan persepsi negatif terhadap pendakwaan yang tidak berkesan atau memilih bulu, secara cepat dan berkesan dan memulihkan kredibiliti dan kecekapan institusi di mata rakyat.

"Bagaimanapun, untuk memerangi rasuah dan jenayah memerlukan kesanggupan politik. Gerakan mengaku janji akan terus memberi sokongan kepada kerajaan dan pucuk kepimpinan Barisan Nasional dalam usaha untuk memerangi rasuah dan jenayah," tegasnya.

Beliau berkata, apa yang berkaitan rapat dengan isu rasuah ialah keberkesanan tanggungjawab dan ketelusan kerajaan secara umum.

Laporan ketua audit

"Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini yang mendedahkan pembaziran dan ketirisan yang begitu ketara, serta kos yang melebihi had, kecacatan dalam infrastruktur dan bangunan Kerajaan dan lain-lain, Gerakan menggesa supaya siasatan yang menyeluruh dan tindakan keras perlu diambil.

Di sebaliknya, terdapat pula beberapa contoh kecemerlangan, misalnya, Jabatan Imigresen sanggup mengeluarkan pasport dalam tempoh masa tiga jam yang kini merupakan satu rekod dunia.

"Sekiranya Jabatan Imigresen dapat meraih pencapaian ini, tidak ada sebab mengapa jabatan-jabatan lain tidak dapat meraih kejayaan serupa," katanya.

Dr Koh berkata, selain penyampaian dan perkhidmatan yang cepat, rakyat juga mengharapkan dan menuntut layanan yang saksama, mesra, bersopan santun dan memberi hormat.

Katanya, slogan 'rakyat didahulukan' bukan sahaja untuk menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat, tetapi adalah untuk memenangkan hati rakyat.

"Ia bukan sahaja untuk mencapai kesan hasil yang cepat, tetapi juga untuk memberi layanan yang baik. Oleh kerana majoriti kakitangan sektor awam, termasuk pegawai-pegawai penguatkuasaan, adalah orang Melayu, layanan yang tidak adil atau kurang sopan selalunya dipandang sebagai amalan perkauman.

"Sehubungan itu, selain dari memperbaiki keberkesanan dan kesantunan, langkah-langkah konkrit harus diambil untuk memastikan campuran kumpulan etnik yang sihat wujud dalam sektor awam. Sesungguhnya, Perkhidmatan Awam Malaysia hendaklah benar-benar Perkhidmatan Awam 1Malaysia," tambahnya.

Dalam ucapannya itu, Dr Koh turut menyentuhkan soal cabaran besar yang dihadapi kerajaan dan BN, hatuju parti Gerakan, isu ekonomi dan perpaduan kaum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.