Halaman

Selasa, 3 November 2009

Reaksi perokok, peniaga

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN


KOTA BHARU – Berbaloikah kerajaan menaikkan harga sekotak rokok 20 batang kepada RM30 semata-mata untuk menghentikan tabiat merokok di kalangan rakyat negara ini sedangkan rokok seludup boleh diperoleh semurah RM2.50 sekotak?

Bagi kalangan perokok, langkah tersebut tidak mampu menghentikan tabiat merokok di kalangan mereka melainkan larangan merokok dikuatkuasakan sepenuhnya.

Menurut mereka, ia juga akan mengurangkan hasil kerajaan apabila aktiviti penyeludupan rokok meningkat sebagaimana yang mula pula berleluasa sekarang.

Beberapa perokok di negeri ini ketika ditemui berpendapat langkah tersebut akan menyebabkan mereka beralih kepada rokok seludup.

Seorang kakitangan awam, Hamidi Ramli, 40, berkata, sejak harga rokok menjadi semakin mahal beberapa tahun ini, ramai yang beralih kepada rokok seludup.

“Sekarang ini pun ada rokok seludup dengan harga RM2.50 untuk 20 batang, oleh itu kalau kerajaan naikkan harga rokok berlesen kepada RM30 pun tidak mengapa.

“Jual mahal macam itu pun tidak akan berjaya menghentikan tabiat merokok sebab kualiti yang ada pada rokok seludup pun hampir sama dengan yang berlesen,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini.

Cadangan menjual harga sekotak rokok 20 batang kepada RM30 ringgit telah dikemukakan oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) kelmarin.

Bagi CAP, harga rokok di Malaysia termasuk jenis premium yang kini dijual RM9.30 sekotak pula masih murah berbanding di kebanyakan negara lain yang meletakkan nilainya hampir RM40.

Seorang lagi kakitangan awam, Mohd. Nor Jaafar, 52, berpendapat harga rokok yang ditetapkan sudah cukup tinggi berdasarkan taraf hidup rakyat, namun masih ramai yang terus dengan tabiat itu.

Katanya, adalah lebih wajar tindakan penguatkuasaan larangan merokok di tempat awam terutama dilakukan secara serius agar ia lebih menakutkan perokok.

Seorang peniaga, Ali Daud, 35, turut mengakui bahawa bekalan rokok seludup sangat mudah ditemui di negeri ini pada bila-bila masa.

Malah katanya, bagi satu karton rokok seludup berharga RM25, dia boleh memperoleh untung sebanyak RM8 berbanding rokok berlesen yang berharga RM93 sekarton dengan keuntungan hanya RM9.30.

Seorang kakitangan swasta, Wan Fauzi Wan Husin, 56, pula berpendapat kerajaan sepatutnya lebih menumpukan kepada penguatkuasaan undang-undang sekiranya mahu mengurangkan tabiat yang tidak sihat itu.

Pendapat Wan Fauzi itu disokong oleh seorang perokok tegar, Shamsu Anuar Abd. Rahman yang telah menjadi perokok sejak 26 tahun lalu.

“Buat pemantauan selalu di tempat-tempat awam seperti sekolah, hospital dan perhentian bas kerana dengan cara inilah baru kita dapat mengurangkan tabiat itu,” ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.