BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Permata Negara memperuntukkan RM663,345 bagi tujuan menaik taraf kemudahan pembelajaran luaran dan pembelian peralatan pembelajaran bagi dua Taska Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Educare Permata di kampus UIAM di Gombak dan Petaling Jaya.
Isteri Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata peruntukan itu bagi memastikan taska berkenaan dapat mengguna pakai kurikulum Permata yang mula dilaksanakan Mei lalu dengan lebih berkesan.
“Usaha ini membuktikan komitmen kerajaan dalam menyediakan pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak yang lebih berkualiti dan menyeluruh,” katanya melancarkan Taska UIAM Educare Permata di UIAM, di sini, semalam.
Pada majlis itu, Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (Bakti) turut menyampaikan cek sumbangan berjumlah RM10,000 bagi membantu pelajar UIAM.
“Walaupun sumbangan itu tidaklah sebegitu besar, namun apa yang penting, ia melambangkan keprihatinan Bakti terhadap keperluan golongan mahasiswa,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan