HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 November 2009

Tauliah: JAIS akan temu duga dahulu

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu menemu duga individu termasuk tokoh agama, ulama dan pemegang ijazah doktor falsafah (Ph.D) yang mahu menjadi penceramah agama bertauliah di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata, selain ditemu duga, mereka yang terlibat juga mesti memenuhi syarat lain antaranya berusia 18 tahun, mempunyai pengetahuan dan pendidikan agama Islam serta bermastautin di Selangor.

Menurutnya, bagi ulama dan tokoh agama dari luar Selangor yang ingin memberikan ceramah atau dijemput menyampaikan kuliah pula, mereka perlu membuat permohonan secara terus kepada JAIS dua minggu sebelum majlis berlangsung untuk tujuan proses dan semakan.

''Sebarang ceramah agama membabitkan orang awam yang dibuat oleh penceramah tidak bertauliah boleh diambil tindakan serta merta oleh JAIS walaupun ia dibuat di dalam rumah dan bangunan persendirian,'' katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan syarat-syarat yang dikenakan JAIS untuk membolehkan seseorang itu mendapatkan tauliah sebagai penceramah agama di Selangor.

Menurut Mohamed Khusrin, tindakan mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor itu diambil dalam usaha pihaknya mengawal kegiatan ajaran sesat dan menyeleweng yang banyak dilaporkan di negeri ini.

''Kita juga tidak mahu fahaman lain yang tidak selaras dengan yang diamalkan di Selangor iaitu Ahli Sunnah Waljamaah berkembang di sini.

''Jika undang-undang ini tidak dikuatkuasakan, bagaimana kita hendak mengawal kegiatan ajaran sesat daripada berkembang di negeri ini,'' katanya.

Mengenai temu duga yang dijalankan pihaknya, beliau berkata, tidak semua individu yang memohon akan mendapat kelulusan kerana ia bergantung kepada jawatankuasa tauliah.

Menurut beliau, pihaknya juga akan memastikan penceramah yang diberi tauliah itu tidak memberi ceramah yang menyimpang daripada ajaran Ahli Sunnah Waljamaah serta mempunyai unsur menghina dan mencerca mana-mana pihak.

Tiada ulasan: