SINAR HARIAN ONLINE
KUALA TERENGGANU - Hujan lebat yang melanda Terengganu sejak dua hari lalu menyebabkan paras air di empat sungai utama di negeri ini mula meningkat dan melepasi paras berjaga-jaga, sekali gus menunjukkan musim tengkujuh sudah bermula.
Berdasarkan laporan la:man web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Sungai Besut di Jambatan Keruak mencatatkan bacaan 34.04 meter, sementara Sungai Besut di Kampung La pula kini mencecah 18.81 meter.
Turut berada pada paras berjaga-jaga adalah Sungai Besut di Jambatan Jertih dengan bacaan 7.81 meter dan Sungai Setiu di Ibu Bekalan mencatatkan bacaan 7.37 meter.
Sehingga jam 7 malam semalam, hanya empat sungai berkenaan telah melepasi paras berjaga-jaga, sementara sungai utama di daerah lain masih berada pada tahap normal.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi memberi amaran bahawa angin kencang dan laut bergelora dijangka berterusan sehingga 7 November ini di perairan Kelantan serta Terengganu.
Pengarah Pejabat Meteorologi Terengganu dan Kelantan, Azemi Daud berkata, angin Timur Laut dengan kelajuan 50 hingga 60 kilometer/jam dan ombak setinggi 4.5 meter di perairan Terengganu dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.
“Perkembangan ini amat berbahaya kepada nelayan yang menggunakan bot kecil dan mereka dinasihatkan tidak turun ke laut buat sementara waktu bagi mengelakkan berlaku kejadian tidak diingini.
“Selain itu, aktiviti rekreasi yang membabitkan sukan pantai juga tidak digalakkan dalam tempoh berkenaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.