HALAMAN SANTAI

Ahad, 8 November 2009

Tubuhkan jawatankuasa khas tangani PATI di Sabah - Pairin

UTUSAN ONLINE


KOTA KINABALU - Parti Bersatu Sabah (PBS) meminta Kerajaan Pusat menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dianggotai sekurang-kurangnya tiga anggota kabinet Sabah untuk menangani masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

Presidennya, Datuk Joseph Pairin Kitingan berkata, penubuhan jawatankuasa itu merupakan langkah terbaik dan paling relevan dalam mencari penyelesaian terbaik menangani masalah PATI.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, semua usaha sebelum ini dilihat kurang berkesan kerana sehingga kini masalah PATI masih menjadi beban utama kepada negeri ini.

"Setakat ini belum ada penyelesaian konkrit dan tindakan yang serius untuk mengatasi masalah PATI di Sabah. Tindakan penyelesaian sebelum ini hanya bersifat sementara dan tidak berterusan.

"Adalah jelas bahawa kita memerlukan penyelesaian mutlak terhadap masalah ini. Kita masih boleh melihat PATI berkeliaran di kawasan bandar mahu pun di luar bandar.

"Kita lihat mereka bersikap seolah-olah negeri Sabah adalah tanah air mereka sendiri," katanya ketika berucap pada Kongres PBS ke-24 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan menteri-menteri Kabinet negeri dan para pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah.

Pairin berkata, kerajaan juga perlu menetap sasaran untuk menyelesaikan masalah PATI dan PBS mencadangkan pada tahun 2012.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata, kehadiran PATI bukan sahaja mengambil peluang pekerjaan rakyat Sabah tetapi turut menguasai bidang perniagaan.

Jelasnya, perkembangan tersebut amat menyedihkan kerana rakyat tempatan terpaksa bersaing dengan PATI termasuk dalam bidang pembinaan dan perladangan.

Tiada ulasan: