HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 November 2009

Wujud kembali Tabung Pembangunan Akuakultur

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya diwujudkan kembali Tabung Pembangunan Akuakultur bagi memberi pinjaman kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata, langkah itu adalah antara beberapa mekanisme yang perlu diperkenalkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi menarik lebih ramai pengusaha IKS terlibat dalam sektor akuakultur.

''Kita harus mewujudkan kembali Tabung Pembangunan Akuakultur yang dulu ada disediakan dan kalau boleh saya mahu Bank Pertanian (Agrobank) memberi kemudahan untuk pinjaman dengan syarat-syarat yang mudah.

''Mekanisme ini penting bagi membolehkan IKS membantu dalam meningkatkan pengeluaran perikanan negara ini dan mengembangkan potensi bidang akuakultur ke peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Akuakultur Asia Pasifik 2009 dan Ekspo Makanan Laut Antarabangsa Malaysia 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Presiden Persatuan Akuakultur Sedunia (WAS) Bagi Asia Pasifik, Roy Palmer.

Persidangan dan ekspo yang berlangsung selama empat hari sehingga Jumaat ini turut dihadiri lebih 1,000 peserta tempatan dan luar negara termasuk dari Amerika Syarikat, Taiwan, Norway dan Thailand.

Muhyiddin berkata, mekanisme lain yang boleh dilaksanakan adalah supaya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) meningkatkan usaha bagi membantu IKS dari segi teknologi pemprosesan.

''Ini bagi membolehkan lebih banyak produk berkualiti yang mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah (EU) dan negara-negara pengimport lain dapat dikeluarkan,'' katanya.

Kalau semua kawasan yang telah disediakan untuk akuakultur dibangunkan, kata beliau, ia boleh menjanakan nilai industri yang keseluruhan berjumlah RM20 bilion.

Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin berkata, kerajaan akan bersungguh-sungguh memaju dan mengembangkan pasaran produk berasaskan perikanan dan hasil pertanian buatan Malaysia di peringkat global.

''Kita juga akan memberikan tumpuan bagi membangunkan bidang akuakultur di Malaysia sebagai sokongan kepada penangkapan ikan secara terus dari laut.

''Langkah ini perlu dilakukan bagi menampung permintaan domestik terhadap ikan yang dijangka meningkat daripada 1.3 juta tan pada tahun 2008 kepada 1.7 juta tan pada tahun 2015," katanya.

Tiada ulasan: