Halaman

Jumaat, 18 Disember 2009

100 tak bayar cukai RM320.7j

Laporan Anwar Hussin, Faiza Zainuddin dan Zanariah Abd Mutalib


KUALA LUMPUR: Seramai 100 individu dikenal pasti berhutang cukai pendapatan perseorangan terbanyak membabitkan jumlah RM320.7 juta.

Individu terbabit dari 12 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kini pada pelbagai peringkat tindakan termasuk guaman sivil, surat pemberitahuan tindakan guaman sivil, sekatan perjalanan ke luar negeri, isytihar bankrap dan gagal dikesan, persetujuan membayar ansuran, diberi surat tuntutan baki terhutang dan penalti lewat bayar.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) berkata seorang individu dari Pulau Pinang mencatat jumlah tunggakan cukai paling tinggi sebanyak RM36.1 juta, diikuti seorang individu dari Sarawak (RM20.6 juta) dan Kuala Lumpur (RM19 juta).

Kuala Lumpur mencatat jumlah individu paling ramai tidak membayar cukai dengan jumlah cukai tertunggak sebanyak RM142 juta, diikuti Sarawak (RM55 juta), Pulau Pinang (RM52 juta), Selangor (RM28 juta) , Johor (RM25 juta), Sabah (RM8 juta), Melaka (RM4 juta), Pahang (RM2.7 juta), Kedah (RM1.2 juta), Negeri Sembilan (RM1.1 juta) dan masing-masing RM1 juta bagi Perak dan Perlis.

Lim dalam soalannya mahu kementerian menyatakan senarai 100 individu yang berhutang cukai pendapatan perseorangan terbanyak setakat September 2009 tanpa menyatakan nama tetapi jumlah yang tertunggak, bangsa, negeri dan tindakan yang diambil terhadap setiap individu terbabit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.