BERNAMA
KUALA LUMPUR - Sejumlah 11,770 rakyat asing memohon status kerakyatan di negara ini dalam tempoh lima tahun lepas, Dewan Rakyat diberitahu semalam.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata, dari 2005 hingga September 2009, permohonan yang diditerima termasuk 3,405 rakyat Indonesia, Kemboja (1,115), China (501), India (494), Filipina (461), Thailand (392) dan lain-lain (4,547).
“Permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia yang dibuat oleh rakyat asing ini adalah berdasarkan kepada peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 15(1), 15(2), 15A dan Perkara 19(1).
“Permohonan ini tidak bermakna semuanya akan diluluskan dengan sewenangnya, sebaliknya pemohon perlu memenuhi pelbagai kriteria yang ditetapkan dan telah melalui pelbagai peringkat tapisan,” katanya.
Beliau berkata, hanya pemohon yang benar-benar layak akan dianugerah taraf warganegara Malaysia.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus) mengenai perkara itu.
Abu Seman berkata, antara kriteria yang ditetapkan ialah berkelakuan baik dan tidak melanggar undang-undang negara, mempunyai pengetahuan memadai dalam Bahasa Melayu dan menumpahkan taat setia kepada negara.
Dalam keadaan tertentu, katanya, kepakaran dan sumbangan pemohon yang boleh memberi manfaat kepada negara dan rakyat Malaysia, diambil kira.
“Selain itu, kajian juga dijalankan oleh Kementerian ini untuk menentukan sama ada pemohon mempunyai pertalian kekeluargaan atau akar umbi di negara ini sebelum permohonan diputuskan,” katanya.
Abu Seman berkata, Kementerian Dalam Negeri telah menetapkan Piagam Pelanggan iaitu kes yang diterima akan diselesaikan dalam tempoh tiga tahun.
Katanya, mana-mana rakyat asing yang mengahwini rakyat Malaysia layak memohon kerakyatan selepas bermastautin di negara ini selama dua tahun di bawah Perkara 15(1) Perlembagaan Persekutuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.