Halaman

Isnin, 7 Disember 2009

‘Doa pecah perut’ cuma analogi: Anual Bakhri

SINAR HARIAN ONLINE


KOTA BHARU - Doa 'pecah perut' yang disebut Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, untuk meluahkan kemarahannya terhadap Kerajaan Persekutuan yang membuat keputusan memberi wang ihsan, tetapi bukan royalti minyak, kepada Kelantan, hanyalah analogi yang tidak sepatutnya diterjemahkan secara langsung.

”Ia bukan bermakna (Nik Abdul Aziz) hendak perut Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) atau Timbalan beliau (Tan Sri Muhyiddin Yassin), pecah. Ia bermaksud siapa buat aniaya kepada Kelantan, dia akan kena. Dalam konteks ini, kezaliman berlaku (dalam penafian royalti minyak),” kata Setiausaha Politik Nik Abdul Aziz, Anual Bakhri Haron ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, Nik Abdul Aziz dalam ucapannya pada majlis perhimpunan menyokong kepimpinan beliau menyebut tentang bantahan masyarakat bukan Islam yang menentang peraturan kawalan arak di negeri itu ketika beliau baru memimpin Kelantan, 19 tahun lalu.

Mengulas perkara itu, Anual Bakhri berkata, Nik Abdul Aziz menegaskan larangan minum arak diharamkan kepada orang Islam, tetapi terpulang kepada masyarakat bukan Islam sama ada hendak minumnya atau tidak.

”Tetapi bukan maknanya kita hendak galakkan orang minum arak,” katanya.

Menurutnya, kenyataan itu dibuat berikutan hasrat beberapa masyarakat bukan Melayu daripada Perak yang mahu datang ke Kelantan untuk minum arak.

Anual berkata, ucapan Nik Abdul Aziz pada perhimpunan kelmarin, di mana beliau menyebut 'pecah perut' itu tidak merujuk kepada mana-mana pemimpin, tetapi hanya mahu menjelaskan bahawa bala Tuhan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk.

Menurutnya, persoalan hukum bergantung kepada kuasa Tuhan, tetapi manusia berhak berdoa kepada Tuhan terhadap mereka yang zalim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.