SINAR HARIAN ONLINE
TAMPIN - Kerajaan meluluskan permohonan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) bagi membolehkan laporan siasatan berhubung tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Disember tahun lalu, didedahkan kepada umum.
Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, kelulusan berkuat kuasa serta- merta itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet Jumaat lalu bertujuan memastikan kepentingan dan keselamatan penduduk di kawasan terbabit terjamin.
“Saya berharap MPAJ tidak hanya mendedahkan laporan ini semata-mata, sebaliknya, perlu difahami sekali gus mengambil tindakan segera melalui cadangan yang diberikan bagi memperbaiki keadaan di kawasan itu supaya kebarangkalian kejadian sama berulang dapat dikurangkan khususnya ketika musim hujan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis gotong-royong membaiki 10 rumah keluarga miskin di Kampung Baru Air Kuning Selatan, di sini, semalam.
Shaziman berkata, MPAJ ada menulis surat kepadanya dan Kementerian Kerja Raya bagi memohon supaya laporan berhubung kejadian tanah runtuh di kawasan berkenaan tidak lagi diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972, 25 November lalu.
“Permohonan berkenaan dibuat oleh MPAJ selepas Jabatan Kerja Raya (JKR) menyerahkan laporan teknikal terbabit kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, yang kemudian mahu ia didedahkan kepada orang ramai,” katanya.
Selain itu, katanya, tindakan kerajaan meluluskan permohonan itu bukan kerana ia sudah tersebar di Internet, sebaliknya, keputusan berkenaan diputuskan mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Kita membuat laporan ini untuk MPAJ dan kita tidak boleh mendedahkan kepada umum tanpa kebenaran mereka.
“Jadi, selepas mereka menulis surat memohon laporan itu didedahkan kepada umum, saya tidak boleh membuat keputusan serta-merta kerana perlu mengikut prosedur, termasuk memaklumkan kepada Kabinet terlebih dahulu.
“Ini adalah antara cara kita bekerja dengan mengikut prosedur yang ditetapkan dan kita tidak mahu menjadi seperti Kerajaan Selangor yang membuat keputusan melompat-lompat. Kita tidak menyorok apa-apa mengenai laporan ini,” katanya.
Sinar Harian difahamkan, Kementerian Kerja Raya juga sudah membuat laporan polis 2 Disember lalu berhubung kebocoran laporan terbabit lebih awal di Internet.
“Laporan itu sebenarnya sudah siap agak lama dan berada dalam simpanan kementerian dan JKR tetapi tidak pernah tersiar dalam Internet. Bagaimanapun, apabila laporan itu diserahkan kepada MPAJ, kita dapati ia tersebar kepada orang ramai.
“Jadi, kita mengambil keputusan membuat laporan polis kerana ketika diserahkan kepada MPAJ, laporan berkenaan masih lagi di bawah Akta OSA 1972. Jadi, kita perlu menyiasat bagaimana ia tersebar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.