Halaman

Rabu, 16 Disember 2009

Lelaki Terkaya Malaysia Seorang ‘Penjenayah’?

Oleh: MUSTINA R (sabahkini)


“SEBARANG pengeluaran Sijil Anak Negeri selepas 1982 dikira palsu kerana Kerajaan Negeri membekukan pengeluaran sijil berkenaan pada tahun itu. Dengan itu mereka yang mengeluarkan atau membeli sijil palsu itu dikira melakukan kesalahan jenayah di mana mereka boleh didakwa mengikut Kanun Keseksaan,” kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Hajiji Haji Noor di akhbar tempatan pada 20 Oktober 2006.

Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi sebilangan besar kaum Anak Negeri. Lebih seminggu kemudian, cerdik pandai kaum Anak Negeri dari seluruh Sabah asyik berkhayal membincangkan isu ini dengan harapan melangit bahawa kali ini pasti jenayah dilakukan oleh mereka yang menggunapakai Sijil Anak Negeri Palsu akan diambil tindakan Undang-Undang.

“Sabar kamu. Itu menteri BN yang cakap. Kali ini pasti ada taukeh bukan Anak Negeri tetapi memiliki Sijil Anak Negeri sampai boleh beli tanah Anak Negeri (NT) akan ditangkap,” Itu antara kata-kata diucap oleh seorang Ketua Kampung dari Daerah Pendalaman yang tidak senang hati melihat tanah bergeran NT di kampung halamannya menjadi milik bukan anak negeri.

Paling tidakpun ramai juga berharap kesan ‘ancaman Menteri BN’ itu akan mengakibatkan penangkapan beberapa Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri yang telah khianat kepada kaumnya. Itulah harapan mereka.

Namun harapan yang penuh bersemangat dan meluap-luap akhirnya menjadi penambah kehampaan apabila kehangatan isu penggunaan Sijil Anak Negeri oleh golongan yang tidak layak; langsung tidak diambil peduli oleh Kerajaan dan dibiar mati begitu saja.

Kini walaupun masih ada anak muda yang kekadang menimbulkan semula kenyataan akhbar Menteri BN itu tetapi kali ini nada suara mereka bersalut rentak kritikan mengejek berbunyi “rupanya itu gertak menteri BN saja”.

Demikian kata seorang anak negeri ketika bersembang dengan beberapa rakannya di sebuah gerai tamu di Kota Belud, Sabah. Tidak kurang ada juga orang ramai menganggap kenyataan menteri itu sebagai “omongan kosong”.

Sama ada ianya dilabel gertak menteri BN saja atau omongan kosong oleh kerana ianya dibuat oleh seorang Menteri tentunya ia adalah satu perkara serius. Isunya tidak boleh dipadam dan dilupakan begitu saja sebab perkara yang ditimbulkan adalah suatu jenayah yang nyata yang telah membawa padah kepada penghidupan puluhan ribuan Anak Negeri.

Apabila isu penggunaan Sijil Anak Negeri (SAN) di kalangan yang tidak layak ditimbullkan semula di Dewan Undangan Negeri Sabah, ianya telah disambut oleh sebahagian besar kaum Anak Negeri sebagai peluang baru menyelesaikan isu ini.

Adalah menjadi kewajipan kepada semua kaum Anak Negeri menganalisa dan memahami buruk baiknya kepada kaum Anak Negeri sendiri dan generasi mereka yang akan datang.

Elemen penting terkandung dalam omongan kosong menteri tersebut turut mengundang berbagai soalan. Kenapa sehingga kini belum ada tindakan wajar diambil oleh Kementerian diwakili oleh Menteri berkenaan sedangkan pemilikan Sijil Anak Negeri oleh mereka yang tidak layak adalah jenayah berat di sisi Undang-Undang?

Kenapa pihak lain yang bertangganjawab menegakkan hukum termasuk institusi Mahkamah Anak Negeri dan Polis turut membisu dan tidak mengambil tindakan terhadap mereka yang memiliki Sijil Anak Negeri Palsu sedangkan laporan Polis telahpun dibuat oleh banyak pihak?

Jika terdapat penggunaan sebarang dokumen palsu digunapakai untuk sebarang urusan melibatkan Kerajaan, tidak ada seseorang individu di Malaysia yang boleh heret penjenayah terbabit ke Mahkamah untuk diambil tindakan di bawah Undang-Undang jenayah kecuali POLIS.

Persoalaannya dalam konteks penggunaan Sijil Anak Negeri Palsu, adakah pihak Polis telah menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan tulus ikhlas? Juga jika terdapat mana-mana individu menggunakan Sijil Anak Negeri Palsu, apakah tindakan yang AKAN diambil oleh kakitangan Mahkamah Anak Negeri andainya ada yang datang memohon sijil mereka disahkan sebagai Sijil Anak Negeri sah /benar?

Jawapan kepada semua persoalaan di atas tidaklah perlu dijawab dengan panjang lebar. Memadai dikatakan pendekatan diambil oleh semua pemimpin kaum Anak Negeri sejak Kerajaan PBS sehingga sekarang amat menyedihkan kaum Anak Negeri.

Dokumen yang Berjaya dikumpul membuktikan, antaranya, kebanyakan kakitangan Mahkamah Anak Negeri ‘menangguk di air keruh’, malah ada yang sanggup menggadai maruah kedudukan mereka sebagai barisan pemimpin kaum Anak Negeri SELAKU pembela telah bertukar menjadi PENGKHIANAT.

Apa yang dibekukan oleh Kerajaan Parti Berjaya untuk mengelak golongan yang tidak layak memperolehi Sijil Anak Negeri secara tidak sah atau pemegang Sijil Anak Negeri Palsu kini diberi bantuan oleh pemimpin BN dan generasi baru Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri supaya penjenayah-penjenayah berkenaan dijadikan ‘PEMEGANG SIJIL ANAK NEGERI SAH/HALAL.‘

Kerajaan Parti Berjaya telah membekukan pengeluaran Sijil Anak Negeri pada 1982 semata-mata kerana terdapat pengeluarannya melanggar Seksyen 2 (1) (b) Ordinan Tafsiran (Takrif Anak Negeri) .

Seksyen dimaksudkan berbunyi seperti berikut:

“Any person ordinarily resident in Sabah and being and living as a member of a native community, one at least of whose parents or ancestors is or was a native within the meaning of paragraph (a) hereof; or “

Disebabkan terdapat Ketua Daerah Ketua Anak Negeri atau singkatnya Ketua Kaum Masyarakat Anak Negeri memberi sijil kepada yang tidak layak, maka pembekuan dilaksanakan. Disingkatkan cerita tentunya penerima Sijil Anak Negeri yang dikeluarkan sebelum tahun 1982 adalah terdiri daripada bukan Anak Negeri atau sijil yang mereka perolehi adalah palsu.

Perli diingat, dari sudut perundangan, menggunakan dokumen yang diperolehi melalui proses yang tidak sah atau menggunakan dokumen palsu adalah salah. Untuk mudah difahami sebagai tajuk perbincangan dihuraikan kisah lanjut Keluarga KWAN AH KEE.

Mendiang KWAN AH HEE lahir di Negara china. Kenyataan itu di ukir dibatu nesan Mar-Mar yang didirikan oleh anak-anak Kwan Ah Hee. Boleh dikatakan ianya telah menjadi tumpuan Pelancong di Lahad Datu kerana keindahan kawasan kubur seorang kaum ‘Pendatang’ yang berjaya mencipta nama di kalangan kaum Anak Negeri di Sabah.

Keindahan ini juga sering menjadi tajuk bualan kaum Anak Negeri menjadikannya bandingan dengan kubur kaum Anak Negeri terutama kuburan umat Islam yang tidak terurus dan berkeadaan lintang pukang. Ada yang menghadap kiblat. Ada yang menghadap Menara Paris dan tidak kurang ada yang menghadap ke Istana Larangan di Beijing.

Selain Kwan Ngen Wah (dihurai di Bahagian II), seorang lagi anak mendiang Kwan Ah Hee bernama KWAN NGEN CHUNG juga berdaftar sebagai pemilik ribuan ekar tanah di bawah syarat NT.

Kwan Ngen Chung, adalah salah seorang daripada 40 Lelaki Terkaya di Malaysia yang memiliki Aset sejumlah RM0.40 bilion selepas Datuk Tony Fernandez yang menduduki tangga ke 39 dengan asset RM0.47 bilion.

Dalam Sijil anak Negeri Kwan Ngen Chung fakta berikut dicatat:

Suku Kaum : Kadazan Dusun

Dalam sijil lahir Kwan Ngen Chung pula perincian kelahirannya direkodkan seperti berikut:

Nama Bapa : KWAN AH HEE
Keturunan Bapa : Cina
Nama Ibu : CHANG HIANG NUI
Keturunan Ibu : Cina

Saya terkilan kerana DATUK OSMAN JAMAL, Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur dan Dahlan Tengah selaku Timbalan Pengarah, tanpa usul periksa, telah menerima sijil Anak Negeri Kwan Ngen Chung sebagai sah dan membenarkannya memiliki tanah NT.

Sebagai rakyat merdeka yang bijaksana, anda hakimi dan buatlah rumusan sendiri tentang status Sijil Anak Negeri dimiliki oleh Kwan Ngen Chung bersama abangnya Kwan Ngen Wah.

Berdasarkan dokumen sijil lahir bersama rekod ayah mereka, lahir di Singapura kemudian menjadi diberi kerakyataan Malaysia melalui perundangan mengikut rekod di Jabatan Pendaftaran Negara, apakah sijil dipegang oleh dua beradik (KWAN NGEN WAH dan KWAN NGEN CHUNG) tersebut sah di segi Undang-Undang Tafsiran Anak Negeri?.

Rekod seperti disiar membuktikan tidak ada keturunan keluarga Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung mempunyi darah anak Negeri berasal dari negeri Sabah. Sah atau tidak terserah kepada anda menilai?

Ringkasnya, semasa Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chun lahir, bapa kandung mereka sendiri merekodkan suku kaum mereka sebagai Cina. Setelah Kwan Ah Hee meninggal dunia, anak-anaknya pula merekodnya Negara CINA sebagai tempat kelahiran ayah mereka.

Rekod jabatan Pendaftaran Negara pula mencatatkan Kwan Ah Hee HANYA menjadi warganegara Malaysia selepas tahun 1967. Jesteru dari mana datangnya “suku kadazan dusun’ mereka? Bagaimana kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung boleh diberi taraf Anak Negeri berasal dari Sabah oleh Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri yang bertugas di Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu?

Akhir kalam jangan lupa, jika ada kelapangan masa dan kesempatan sudi kiranya singgah sejenak di Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu. Tidak salah andainya anda bertanyakan khabar Hero-Hero kita yang bertugas sebagai Ketua Kaum Anak Negeri. Mungkin juga kini bantuan anda amat diperlukan bagi membantu mereka mereka yang pastinya sekarang sibuk melayan pemegang Sijil Anak Negeri yang ingin mendapatkan pengesahan sijil mereka.

Mungkin juga Menteri BN berkenaan perlu mengeluarkan satu lagi omongan kosong tentang status Sijl Anak Negeri yang dikeluarkan sebelum tahun 1982, apakah wajar ianya disahkan oleh Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri sekarang sedangkan pemimpin Kerajaan Berjaya bekukannya untuk hentikan lebih banyak BUKAN ANAK NEGERI yang tidak layak atau memperolehinya cara palsu daripada memiliki dan menggunakannya?

Lebih penting tanya diri sendiri, apakah kenyataan Hajiji dalam kapisitinya sebagai seorang menteri itu dibuat kerana prihatin terhadap nasib kaum Anak Negeri menjadi mangsa bukan Anak Negeri yang telah merampas tanah mereka atau hanya ‘tin kosong yang bergolek dari atas Gunung Kinabalu ke Rugading, Tuaran?’

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.