UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR – Majlis Peguam kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan semula Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terhadap saksi selepas waktu pejabat.
Presidennya, Ragunath Kesavan berkata, saksi adalah individu yang penting dalam sesuatu pendakwaan malah orang itu harus diberi perlindungan yang cukup baik.
“Saksi juga sepatutnya tidak boleh dipaksa memberi maklumat atau keterangan mengenai sesuatu kes.
“Tetapi kami sangat hairan dengan keputusan mahkamah yang membenarkan ahli-ahli SPRM untuk menyoal siasat selepas waktu pejabat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan SPRM menjalankan siasatan terhadap saksi selepas waktu pejabat.
Keputusan Mahkamah Rayuan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang memutuskan SPRM hanya boleh menyoal siasat saksi dalam waktu pejabat antara 8.30 pagi hingga 5.30 petang.
Tambah Ragunath, jika saksi itu secara rela diri ingin memberikan keterangan atau maklumat selepas waktu pejabat, SPRM berhak menyoal siasat mereka.
“Tetapi, mereka tidak boleh dipaksa sama sekali,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.