Oleh Khairul Anuar Abdul Samad
KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyangkal kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa beliau tidak menerima nasihat perundangan dan politik yang betul daripada pegawainya sehingga menyebabkan berlakunya krisis dalam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Nik Aziz berkata, semua pegawai yang memberi nasihat dan pandangan kepadanya adalah mereka yang boleh dipercayai serta betul fakta dan maklumatnya.
“Saya tidak tahu siapa dia (orang) yang menasihat saya dengan tidak betul, banyak orang (pegawai) memberi nasihat kepada saya dan saya kira ianya betul.
“Tanya sendiri dengan Abdul Hadi, siapa pegawai saya yang memberi nasihat betul atau tidak betul (kepada saya),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Integriti peringkat negeri Kelantan 2009 di Kota Darulnaim di sini, semalam.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Abdul Hadi, kelmarin bahawa Nik Aziz tidak diberi nasihat yang betul ketika melantik menantunya, Abdul Ariffahmi Ab Rahman bagi memimpin PMBK.
Abdul Hadi mengakui perkara ini berlaku disebabkan mereka yang bertugas di sekeliling Menteri Besar itu tidak memberi nasihat perundangan dan politik yang betul kepada Mursyidul Am Pas itu.
Pada 23 November lalu, rombongan Pas Pusat diketuai Abdul Hadi, menemui Nik Aziz di Kota Bharu dan menasihatkannya supaya mengarahkan Abdul Ariffahmi melepaskan jawatan demi menjaga nama baik kepimpinan kerajaan negeri.
Nik Aziz berkata, segala nasihat yang diberikan dibincangkan dulu, bukannya membuat keputusan sendiri dan sekiranya beliau merasa berpuas hati dengan nasihat itu, ia akan diterima, kalau tidak ia ditolak.
“Semua nasihat yang diberi, saya sendiri akan membuat keputusan sama ada untuk menerima atau tidak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.