Halaman

Isnin, 14 Disember 2009

Pemandu disamun maut, terjun dari but teksi

BERNAMA


Seorang pemandu teksi yang dipercayai disamun maut selepas bertindak nekad terjun dari but teksinya yang sedang dilarikan seorang penjenayah dalam usaha untuk menyelamatkan dirinya di Jalan Kuching di Kuala Lumpur malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8 malam itu disedari oleh tiga penunggang motosikal yang kebetulan ternampak kelibat seorang lelaki di dalam bonet teksi berkenaan.

"Ketiga-tiga penunggang motosikal yang kebetulan melalui persimpangan Bank Rakyat ternampak kelibat mangsa sedang melambaikan tangan seolah-olah meminta pertolongan dari dalam bonet yang separuh terbuka itu.

"Seorang daripada penunggang (motosikal) kemudian menghubungi polis untuk meminta bantuan, manakala dua penunggang lagi mengekori teksi terbabit," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau berkata kira-kira 500 meter dari persimpangan Bank Rakyat terbabit, mangsa kemudiannya terjun daripada teksinya dan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.

"Kita percaya mangsa berjaya membuka pintu bonet itu sebelum bertindak terjun untuk menyelamatkan diri. Mangsa mati beberapa minit kemudian akibat kepalanya terhentak di jalan raya," katanya.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan mangsa disamun di kawasan lain sebelum dikurung di dalam bonet teksi berkenaan.

Ku berkata tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada badan mangsa dan mayatnya di hantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

"Siasatan awal mendapati mangsa adalah lelaki warga tempatan berumur 31 tahun dan suspek yang terlibat adalah seorang," katanya.

Ku berkata polis bagaimanapun dapat mengesan semula teksi berkenaan berhampiran bangunan Sime Darby, namun suspek yang melarikan teksi itu telah melarikan diri.

Ku juga meminta dua penunggang motosikal yang mengekori teksi berkenaan menghubungi ASP Ananthan ditalian 019-3227766 bagi membantu siasatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.