Oleh Azida Shaharuddin
JOHOR BAHRU: “Perit hati ini melihat suami dan anak masih terlantar di hospital menerima rawatan serta melalui pembedahan menampal kulit.
“Kakak perlu tabahkan semangat untuk suami dan anak bagi meneruskan hidup,” kata Noor Haniza Kayat, 34, yang sedih mengenangkan nasib beliau sekeluarga selepas terbabit dalam satu kebakaran disebabkan kebocoran penyembur racun serangga, pada tengah hari 22 November lalu.
Mengimbas kejadian seminggu sebelum sambutan Aidiladha, Noor Haniza berkata, beliau dan suami, Zarulail Mohd Jaimi, 35, baru menyiapkan juadah tengah hari sebelum terbau gas racun serangga dari arah almari di bawah sinki.
Katanya, ketika itu api dapur sudah dinyalakan untuk memasak, dan pada masa sama, suaminya membuka pintu kabinet dapur terbabit.
“Tidak sempat menutup api dapur, tiba-tiba ia (api dapur) terus menyambar gas racun serangga menyebabkan saya dan suami melecur separuh badan. Terperanjat mendengar jeritan kami, anak pula masuk sebelum disambar api, " katanya ketika ditemui di rumah, di Taman Gaya, di sini, semalam.
Akibat kejadian itu, suami serta anak lelakinya, Muhamad Shazani, 7, mengalami kesan lecur teruk di bahagian pinggang hingga ke muka dan masing-masing kini menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini, dan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.
Anak perempuannya, Nurshafiqah, 10 dan anak saudaranya Isma Alif Ismail, 8 pula mengalami sedikit kesan lecur yang tidak begitu serius di bahagian kedua-dua kaki dan tangan serta muka.
“Saya, tidak sempat menutup api dapur menyebabkan kami anak-beranak disambar api... nasib baik tong dapur gas tidak terus meletup, hanya balang gas racun serangga disambar.
“Alhamdulillah, Tuhan panjangkan umur kami sekeluarga, ” katanya mengakui seluruh keluarganya masih trauma dengan kejadian itu.
Noor Haniza berkata, beliau hanya akan menjalani pembedahan menampal kulit selepas pembedahan suaminya selesai.
Difahamkan Zarulail pernah bekerja di Singapura sebagai pekerja pembersihan, namun kini tidak lagi bekerja sejak setahun lalu ketika ekonomi mulai merosot.
Prihatin dengan kejadian menimpa keluarga Noor Haniza, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Puteri Wangsa, Datuk Abdul Halim Suleiman melawat keluarga terbabit dan menyampaikan sumbangan wang daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.