Halaman

Selasa, 8 Disember 2009

Pesara tentera dakwa keberaniannya tidak dihargai

UTUSAN ONLINE


KUANTAN - Seorang pesara tentera yang mendakwa pernah menembak mati seorang komunis pada tahun 1979, melahirkan rasa kecewa kerana tindakannya itu tidak pernah dihargai atau diberi pengiktirafan sewajarnya.

Pesara terbabit, Abdul Rani Wok, 71, mendakwa, kejadian itu berlaku 30 tahun lalu ketika dia terbabit dalam pertempuran di sebuah ladang getah di Sungai Chalit, Raub.

Abdul Rani berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula pada tahun 1963 di bawah Batalion ke-12 Askar Wataniah yang kini dikenali sebagai Batalion ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Menurutnya, sepanjang 20 tahun berkhidmat dalam ATM, beliau banyak menyertai operasi menghapuskan pengganas komunis di sekitar Pahang, Perak, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

"Saya agak kecewa kerana keberanian dan pengorbanan saya dahulu tidak mendapat sebarang pengiktirafan, malah saya sendiri tidak mempunyai pekerjaan yang tetap dan hanya bekerja kampung," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Abdul Rani memberitahu, beliau bukan berniat untuk meminta-minta tetapi sepatutnya pengorbanan yang dilakukannya itu perlu diberi pengiktirafan sewajarnya.

Menceritakan kembali detik-detik cemas menembak mati komunis tersebut, katanya, kejadian pada pukul 9.45 pagi, 25 Jun 1979 itu berlaku ketika beliau bersama sepasukan batalion mengesan lima pengganas yang sedang menaiki bukit melintasi Jalan Sungai Chalit.

"Kami melepaskan tembakan dan berjaya membunuh dua daripada mereka dan tiga lagi melarikan diri ke dalam kawasan kebun getah.

"Saya bersama beberapa lagi anggota lain kemudian diarah mengejar musuh dan bertindak sebagai kumpulan penyekat.

"Setelah hampir 150 meter memasuki ladang getah tersebut, saya ternampak tiga pengganas komunis itu yang sedang melarikan diri," katanya.

Menyedari kehadirannya, menurut Abdul Rani, pengganas komunis tersebut melepaskan tembakan namun dia bernasib baik kerana sempat berlindung di belakang pokok getah.

Oleh kerana tiga komunis tersebut menyangka anggota tentera yang mengejarnya telah terbunuh, pengganas terbabit mengambil keputusan melarikan diri.

Menyedari tindakan pengganas terbabit, Abdul Rani melepaskan tembakan dan berjaya membunuh salah seorang anggota komunis tersebut.

"Apa yang saya harapkan ialah ada pihak berwajib yang memberi pembelaan yang sewajarnya terhadap diri saya," tegasnya.

Sementara itu, Pegawai Penerangan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) cawangan Pekan, Leftenan Kolonel (B) Zulkiffly Mohd. Tahir berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan Abdul Rani itu kepada pihak yang berkaitan agar bekas tentera itu diberi pengiktirafan sewajarnya.

Zulkiffly yang juga Pengerusi Kempen Rayuan Hari Pahlawan PBTM Pekan, berkata pihaknya akan memohon kerjasama Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), PBTM Pahang dan Batalion ke-24 RAMD bagi menangani masalah berkenaan.

"Mereka yang terlibat dalam pertempuran itu yang masih hidup juga akan dihubungi sebagai saksi," jelas beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.