Oleh Nurhayati Abllah
IPOH: Polis menahan 15 lelaki, termasuk dua pelajar sekolah menengah dan memburu dua lagi individu selepas terbabit dalam empat kes rogol remaja bawah umur dalam kejadian dipercayai ‘pesta seks’ berasingan bermula 4 hingga 12 Disember lalu.
Semua suspek berusia antara 13 tahun dan 55 tahun itu berjaya ditahan di beberapa lokasi berasingan sekitar pekan Batu Gajah, dekat sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Najib Mohamad ketika dihubungi berkata, mangsa terdiri daripada tiga pelajar tingkatan tiga dan seorang sudah tidak bersekolah berusia 15 tahun.
“Dalam kejadian pertama pada 4 Disember lalu, seorang remaja perempuan dikatakan mengikut kenalan lelakinya sebelum dibawa ke sebuah rumah di Kampung Ara Payung, dekat sini, kira-kira jam 12 tengah malam.
“Bagaimanapun, pada masa sama terdapat empat lagi lelaki dipercayai rakan teman lelakinya turut berada di dalam rumah itu. Mangsa kemudiannya dirogol bergilir-gilir oleh kumpulan lima lelaki itu,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dihantar pulang keesokan hari dan mengadu hal itu kepada ahli keluarga sebelum membuat laporan polis pada hari sama.
“Lima lelaki itu turut menggunakan taktik sama dengan mencari mangsa kedua dengan mengumpan seorang kenalan perempuan dipercayai teman wanita seorang daripada suspek dan membawa mangsa ke kawasan lombong di Kampung Pisang, dekat sini, pada 7 Disember lalu.
“Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa turut dirogol bergilir-gilir,” katanya.
Najib berkata, beberapa jam kemudian iaitu kira-kira jam 1.30 pagi 8 Disember lalu, kumpulan lelaki sama mengajak lima lagi rakan lain untuk merogol seorang lagi mangsa yang sudah dikurung di sebuah rumah di Kampung Bendera.
Sementara itu, dalam satu lagi kejadian rogol berasingan pada 11 Disember, seorang remaja perempuan yang keluar bersiar-siar bersama kenalan lelakinya, dibawa dan dikurung di sebuah rumah di Tanjung Tualang, dekat sini.
Katanya, mangsa kemudian turut dirogol lima lelaki terbabit termasuk kenalan lelakinya kira-kira jam 10.30 malam 12 Disember, sebelum dihantar pulang ke rumah pada keesokan hari.
“Polis kemudian bertindak susulan daripada laporan keluarga semua mangsa, hasil siasatan polis berjaya menahan 15 lelaki terbabit dan masih mengesan dua lagi suspek yang terbabit dalam kes itu.
“Laporan perubatan yang diperoleh juga mengesahkan mangsa dirogol dan semua 15 suspek kini direman sehingga 21 Disember ini. Polis menyiasat kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.