Halaman

Isnin, 14 Disember 2009

Surat 'menangis' TEKUN

Oleh NORAINI NORDIN


KUALA LUMPUR - Surat 'menangis'! Begitulah istilah yang digunakan oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) pada surat rayuan yang dihantar kepada peminjam untuk menuntut kembali hutang.

Surat rayuan bagi mendapatkan semula bayaran pinjaman TEKUN ditulis secara diplomasi dan merendah diri oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan.

Kandungan surat tersebut antara lain menyebut:

'Dengan rendah diri dan penuh hormat, saya merayu kepada saudara/saudari supaya dapat membayar balik tunggakan hutang tersebut kepada TEKUN Nasional.

Seperti mana saudara/saudari maklum bahawa bayaran balik pinjaman saudara/saudari itu akan diberikan pula kepada peminjam dan bakal-bakal usahawan Melayu/bumiputera lain yang memerlukan modal dan pertolongan daripada pihak TEKUN Nasional.

Sekiranya saudara/saudari berkemampuan dan boleh membayar balik pinjaman tersebut, maka sekali lagi saya merayu tolonglah bayar balik hutang tersebut.

Sebaliknya, jika saudara/saudari menghadapi kesulitan dan tidak mampu membayar ansuran tersebut, maka saudara/saudari boleh membayar jumlah yang termampu.

Di samping itu, sekiranya usaha niaga saudara/saudari tidak berjaya, tetapi masih mempunyai keazaman untuk memulihkan kembali dan meneruskan perniagaan, maka berhubunglah semula dengan pihak TEKUN Nasional, bagaimana kami boleh membantu lagi, mungkin dengan memberikan pinjaman tambahan atau menjadualkan semula balik supaya saudara/saudari dapat memulihkan dan meneruskan semula perniagaan ataupun menceburi bidang yang baru.

Segala perhatian dan kerjasama/ saudari saya dahului dengan ucapan terima kasih dan saya mendoakan semoga saudara/saudari keberkatan daripada Allah SWT di dunia dan akhirat dalam menjalankan urusan harian."

Pendekatan yang digunakan oleh TEKUN ini sangat berbeza dengan 'surat peguam' yang dihantar oleh pihak bank atau syarikat mikro kredit lain.

Surat 'menangis' TEKUN itu telah dihantar kepada 39,576 peminjam bagi menuntut RM130 juta hutang lapuk sejak Ogos lalu.

Mungkin dengan menggunakan 'bahasa merayu dan meruntun hati' itu, ia dapat menginsafkan peminjam untuk membayar kembali pinjaman mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.