Halaman

Rabu, 6 Januari 2010

Dua enjin jet TUDM akan dibawa balik

3 anggota pangkat rendah mungkin didakwa

Oleh Johari Ibrahim dan Sazarina Shahrim


PUTRAJAYA: Kerajaan sedang berusaha untuk mendapatkan kembali dua enjin pesawat tempur F-5E milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang hilang dua tahun lalu, secepat mungkin, kata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Beliau yang sudah menerima laporan lengkap siasatan berhubung kehilangan itu berkata, kerajaan akan menggunakan semua sumber, termasuk polis dan TUDM serta mendapatkan kerjasama beberapa negara luar untuk mengesan enjin terbabit sekali gus mendapatkan semula dua enjin jenis GE J85 21-A itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, enjin yang kali terakhir dikesan di Uruguay itu masih belum dapat dikesan kedudukannya sehingga ini.

Katanya, sehingga kini, kertas siasatan terhadap kes itu sudah selesai dan dalam masa terdekat akan mengumumkan sama ada pendakwaan akan dilakukan atau sebaliknya.

Gani yang berpuas hati dengan kertas siasatan itu, sekali lagi menegaskan tiada pegawai tinggi TUDM terbabit dalam kehilangan dua enjin itu sebaliknya hanya beberapa anggota pangkat rendah TUDM.

"Kita sedang melihat bukti yang ada dan keputusan untuk mendakwa mereka yang terbabit akan dibuat dalam masa terdekat," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Beliau berkata, sebuah enjin dibawa dengan kontena ke Gudang Material Udara I (Matra I) TDUM Sungai Besi pada 31 Oktober 2007 manakala enjin yang kedua pada 30 Disember 2007.

Katanya, pada 1 Januari 2008, kedua-dua enjin berkenaan dibawa ke sebuah premis di USJ Subang Jaya dekat sini dan TUDM menyedari kehilangan kedua-dua enjin berkenaan pada 22 Mei 2008.

Beliau berkata, pada 4 Mei 2008, kontena mengandungi enjin terbabit dihantar ke Argentina menerusi kapal dan dipindahkan dengan kapal lain ke Uruguay.

Laporan polis mengenai kehilangan kedua-dua enjin berkenaan dibuat oleh Ketua Matra I, Mejar Zulkifli Ayob, di Balai Polis Brickfields pada 4 Ogos 2008.

Turut hadir padang sidang media itu ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin; Timbalan Pengarah I Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Noryah Md Anvar; Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Tun Abdul Majid Tun Hamzah dan beberapa pegawai TUDM.

Menjawab soalan, beliau berkata, pihaknya tidak pasti siapa pembeli enjin berkenaan dan apa tujuan mereka.

Katanya, polis antarabangsa (Interpol) juga sudah maklum mengenai kes berkenaan dan pihak berkuasa Malaysia juga turut mendapatkan bantuan agensi berkenaan.

Akhbar ini baru-baru ini mendedahkan kehilangan dua enjin itu ketika dibawa keluar dari pangkalan Skuadron 12 Scorpion di Butterworth untuk penyelenggaraan rutin di Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis berjaya mengenal pasti empat suspek terbabit dalam kehilangan enjin itu iaitu tiga anggota bawahan dan seorang awam yang menjadi ejen menjual enjin berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.