| |
| Fasa penuh gerhana bulan ini dapat disaksikan pada pukul 3.24 pagi selepas fasa peratama pada pukul 11.00 malam semalam dalam program pencerapan gerhana bulan di Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam. |
Mereka melihat kejadian gerhana itu menggunakan 10 teleskop yang disediakan sempena Program Pencerapan Gerhana Bulan Separa di masjid berkenaan.
Program itu merupakan anjuran Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dan Masjid Negara dengan sokongan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Jabatan Mufti Selangor dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Fasa pertama yang berlaku pada pukul 1.17 pagi dapat dilihat dengan jelas, bagaimanapun gerhana maksimum pada pukul 3.24 pagi tidak begitu jelas kelihatan akibat terlindung oleh awan tebal.
Fenomena itu dapat disaksikan kembali dengan jelas pada fasa ketiga pukul 3.46 pagi sungguhpun gerhana maksimum sudah melepasi waktunya.
Turut berada di pekarangan masjid itu ialah Pengarah Angkasa, Azreena Ahmad dan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad
Pengunjung juga berpeluang melihat planet Zuhal dan Marikh yang turut kelihatan pagi ini melalui teleskop.
Turut diadakan pada program berkenaan adalah solat sunat gerhana berjemaah dan ceramah berkaitan kejadian gerhana bulan.
Kali terakhir fenomena gerhana bulan separa dilihat di Malaysia adalah pada 17 Ogos 2008.
Bagi mereka yang terlepas menyaksikan fenomena itu, ia boleh ditonton semula menerusi laman web Angkasa di www.angkasa.gov.my.
Seorang pengunjung, Ahmad Kamal Hafis Kamarul Zamil, 18, dari Subang Jaya, Selangor, berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan fenomena gerhana itu kali ini.
"Saya datang ke ibu negara hanya untuk menyaksikan fenomena ini tambahan pula pihak penganjur menyediakan teleskop bagi membolehkan pengunjung melihat sendiri gerhana bulan," katanya.
Bagi Abu Turab Malik Tassaduq Abbas, 21, dia sanggup menempuh kesesakan jalan raya dari rumahnya di Setapak untuk menyaksikan fenomena berkenaan.
"Walaupun mengetahui program ini agak lewat, namun ia amat berbaloi," katanya.
Sementara itu, seorang pensyarah, Raja Azlita Raja Abdul Rahman, 30, berkata, dia begitu terpesona menyaksikan fenomena itu secara langsung.
"Saya berasa satu kelainan yang luar biasa selepas melihat fenomena ini dengan mata saya sendiri," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.