Halaman

Isnin, 11 Januari 2010

IPTS gagal sedia kursus penting

BERNAMA


KUALA LUMPUR – Kebanyakan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini gagal menyediakan kursus yang menepati permintaan pelajar asing, sebaliknya hanya menawarkan kursus mudah yang kurang digemari, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sehubungan itu, beliau menyarankan IPTS agar memberi perhatian dalam penyediaan kursus yang mampu menepati kehendak pasaran pelajar asing seperti bidang kejuruteraan supaya sasaran 75,000 kemasukan pelajar asing pada tahun ini dapat dicapai, lebih tinggi daripada 70,000 pelajar asing tahun lepas.

“Kita lihat kini banyak kolej swasta menyediakan kursus-kursus mudah seperti Pentadbiran Perniagaan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi serta Sains Sosial yang kurang mendapat permintaan daripada pelajar asing.

“Sebenarnya mereka yang datang menuntut di sini banyak membuat permintaan untuk menuntut dalam bidang kejuruteraan di politeknik tetapi kita sedia maklum bahawa politeknik kita menerima kira-kira 120,000 permohonan setiap tahun dan itu pun hanya boleh diisi oleh 30,000 penuntut dalaman sahaja,” katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Tabung Pendidikan The Star 2010 sempena Ekspo Pendidikan The Star di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Biasiswa bernilai RM13.8 juta itu dianugerahkan kepada 46 IPTS tempatan dan luar negara dan antara penerimanya ialah Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing; Kolej Otomotif, Universiti Nottingham (Kampus Malaysia) dan Universiti Kolej Kejururawatan Antarabangsa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.