UTUSAN ONLINE
IPOH - Kartika Sari Dewi, bekas model sambilan yang dihukum sebat kerana minum arak berhasrat menemui Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah untuk menyelesaikan kemelut yang menimpa dirinya.
Ibu dua anak itu yakin hanya dengan bertemu Sultan Pahang, segala masalah yang membelenggu dirinya selama ini akan dapat diselesaikan dengan baik.
''Saya benar-benar tertekan dan mohon jasa baik untuk bertemu baginda Sultan Pahang atau Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah bagi membantu menyelesaikan kes hukuman sebat yang saya hadapi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Kartika Sari Dewi, 32, sehingga kini, belum ada kenyataan rasmi bila hukuman enam sebatan yang dijatuhkan ke atas dirinya akan dilaksanakan.
Katanya lagi, dia tetap dengan keputusannya untuk tidak membuat rayuan dan bersedia disebat bila-bila masa seperti dikehendaki agama Islam.
Kehidupan Kartika Sari Dewi dikatakan tambah tertekan apabila dia dilaporkan telah bercerai dengan suaminya Mohamad Afandi Amir, 38, seorang jurutera sebuah rangkaian agensi berita antarabangsa yang berpangkalan di Singapura.
Perkahwinan mereka pada 1997, dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Azfar, 7, dan Wann Kaitlynn Saridewi, 5.
Pada 11 Julai 2008, Kartika Sari Dewi ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang ketika minum arak di sebuah resort di Cherating.
Dia kemudian didakwa pada 1 Disember 2008 dan pada 20 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan selepas disabitkan kesalahan berkenaan.
Wanita itu sepatutnya dibawa ke Penjara Kajang, Selangor pada 24 Ogos lalu bagi menjalani hukuman tetapi ditangguhkan pada saat-saat akhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.