Halaman

Selasa, 5 Januari 2010

Padah naik harga gula 5 sen


Abd. Hafidz A. Rahim (kanan) merampas gula di salah sebuah kedai runcit di Melaka Raya, semalam, kerana menjual gula dengan harga RM1.70 sekilogram melebihi harga biasa.

MELAKA - Peniaga yang mahu mengambil kesempatan ingin menaikkan harga gula melebihi RM1.65 sekilogram perlu berfikir dua kali selepas ini.

Hari ini, dua buah kedai runcit di Melaka Raya dekat sini yang menjual gula dengan harga RM1.70 sekilogram iaitu lima sen melebihi harga baru yang ditetapkan untuk Semenanjung pada 1 Januari lalu menerima padah apabila masing-masing dikenakan kompaun RM7,500.

Ketua Penguat Kuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Abd. Hafidz A. Rahim berkata, kompaun tersebut adalah bagi kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga 1946 kerana menaikkan harga gula melebihi harga biasa.

Menurutnya, bagi kesalahan di bawah akta tersebut, kedua-dua pemilik kedai terlibat boleh dikenakan denda sebanyak RM15,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

''Ini adalah tindakan pertama jabatan ini ke atas premis di negeri ini yang menaikkan harga gula sewenang-wenangnya.

''Hanya kerana menaikkan harga gula sebanyak lima sen, mereka menerima padah dikenakan kompaun sebanyak RM7,500," katanya di sini hari ini.

Dua buah kedai runcit itu diserbu oleh sepasukan penguat kuasa jabatan itu diketuai Abd. Hafidz sendiri dan berjaya merampas 67 kilogram gula bernilai RM110 selepas pemiliknya didapati menaikkan harga barang tersebut melebihi harga yang ditetapkan.

Khamis lepas, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengumumkan kenaikan harga gula sebanyak 20 sen kepada RM1.65 sekilogram di Semenanjung serta RM1.75 sekilogram di Sabah dan Sarawak berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Menurutnya, pemilik kedai tersebut boleh mengemukakan rayuan pada bila-bila masa.

''Jika mereka gagal berbuat demikian mereka akan dihadapkan ke mahkamah dalam tempoh terdekat ini," katanya.

Abd. Hafidz memberitahu, serbuan yang dilakukan itu adalah hasil maklumat orang ramai.

Katanya, tindakan berterusan akan dijalankan oleh pihaknya bagi memastikan semua peniaga dan premis menjual makanan mematuhi arahan tidak menaikkan harga gula sewenang-wenangnya.

Sementara itu beliau memberitahu, sejak kenaikan harga barang itu diumumkan Khamis lepas, pihaknya mengerahkan anggotanya menjalankan pemantauan harga di seluruh negeri ini.

''Bukan setakat mendapat aduan daripada orang ramai, anggota penguat kuasa juga akan menyamar sebagai pengguna untuk mengesan mereka yang menaikkan harga gula," katanya.

Sehubungan itu, beliau minta kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai maklumat peniaga atau penjual barang makanan menaikkan harga supaya menghubungi jabatan itu di talian 06-2881422.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.