SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM - Pendidikan seks kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) seperti dicadangkan Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), tidak wajar dilaksana kerana dikhuatiri disalahguna dan merosakkan akhlak remaja.
Presiden Kesatuan Guru-guru Malaysia Barat (KGGMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata, pendidikan seks tidak perlu diperkenalkan dalam PLKN kerana bimbang mendatangkan kemudaratan kepada pelatih.
”Saya bimbang jika tidak dipantau pihak PLKN nanti, pelatih cuba melakukan seks dan ini akan meningkatkan lagi gejala sosial dalam kalangan remaja.
”Khuatir tenaga pengajar yang diberikan tanggungjawab tidak berkelayakan dan memberikan pendidikan yang tidak sepatutnya berhubung seks,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Mohamed Sabri turut bimbang pendidikan seks yang dipelajari pelatih mendorong mereka melakukan perkara yang tidak baik dan salah dari sudut agama.
Menurutnya, sebagai sebuah negara Islam yang berpegang kepada agama, moral dan adat, PLKN tidak seharusnya mengikut budaya Barat.
”MLKN seharusnya mempertingkatkan lagi cara pelaksanaan kerana program PLKN dilihat masih belum mantap.
”Mereka seharusnya mencari jalan memantapkan lagi sahsiah dan disiplin diri pelatih,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.