BERNAMA
BUTTERWORTH - Hasrat 74 pemandu kereta untuk menunjukkan kejaguhan masing-masing dengan berlumba dan melakukan aksi berbahaya seperti ‘drift’ di Lebuh Raya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) di sini, tidak kesampaian apabila ditahan dalam serbuan awal pagi semalam.
Lebuh raya itu yang menjadi antara ‘litar’ kegemaran mat rempit dan pemandu kereta berlumba haram dan menunjukkan aksi mula dibanjiri lebih 100 kereta kira-kira jam 11 malam.
Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superintendan Wan Aziz Wan Husin berkata, sebaik ‘pusingan’ pertama dimulakan, polis yang melakukan kepungan bertindak menutup laluan berkenaan menyebabkan 74 pemandu kereta terbabit terpaksa berputih mata.
Menurutnya, pihaknya bersama beberapa jabatan penguat kuasa lain membuat perancangan selepas menjalankan intipan dan risikan sejak seminggu lepas mengenai perlumbaan kereta diadakan di lebuh raya itu.
“Ops Bersepadu itu turut disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kekuatan 51 anggota, termasuk polis trafik negeri,” katanya di sini, semalam.
Wan Aziz berkata, pemandu kereta berkenaan tidak menyedari pasukan operasi sudah berada situ sejak awal lagi dan kedua-dua laluan masuk dan keluar lebuh raya berkenaan dikepung.
“Sebaik perlumbaan dimulakan, kita mengambil tindakan menutup semua laluan dan menahan mereka yang berusia lingkungan 20-an itu,” katanya.
Dalam operasi bermula jam 12 hingga 5 pagi itu, 74 kereta yang ditahan diperiksa kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya ubah suai kenderaan dan tukar enjin tanpa didaftar.
Beliau berkata, arahan turut dikeluarkan kepada kenderaan yang diubah suai untuk menjalani pemeriksaan JPJ.
“Dalam operasi itu, kita turut menyita sebuah kereta kerana menggunakan cukai jalan palsu dan JAS juga mengeluarkan 10 saman,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.