Oleh Magendran Rajagopal
KUALA LUMPUR: Kecacatan reka bentuk, kelemahan kawalan mutu kerja di tapak binaan dan mutu bahan binaan serta hasil kerja yang tidak menepati piawaian, dikenal pasti punca utama keruntuhan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Terengganu, tahun lalu.
Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata laporan akhir disediakan Jawatankuasa Penyiasatan bebas itu sudah dikemukakan kepada Kabinet kelmarin dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berpuas hati dengan hasil siasatan.
“Kabinet sudah diberi taklimat mengenai punca keruntuhan, termasuk syor Jawatankuasa Penyiasatan mengenai langkah pencegahan bagi mengelak kejadian sama berulang dan cadangan pembinaan semula stadium terbabit.
“Jemaah menteri juga memutuskan supaya hasil siasatan diserahkan kepada Kerajaan Terengganu dan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan sewajarnya terhadap mereka yang bertanggungjawab.
“Dengan selesainya siasatan 10 badan profesional ini, Kerajaan Terengganu boleh memulakan kerja pembersihan,” katanya selepas lawatan kerja ke laluan lebuh raya Hubungan Kerinchi di sini semalam.
Dalam kejadian pada 2 Jun tahun lalu, bumbung stadium sepanjang 80 meter daripada keseluruhan 134 meter membabitkan kawasan tempat duduk berbumbung, termasuk pentas diraja di stadium berharga RM280 juta yang baru setahun siap dibina itu, runtuh.
Susulan itu, Jawatankuasa Penyiasatan yang ditubuhkan Jun tahun lalu dianggotai wakil Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), Persatuan Struktur Keluli Malaysia, Lembaga Arkitek Malaysia (BAM), Jabatan Audit Negara, Jabatan Peguam Negara dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
Mereka diberi kuasa menyoal siasat JKR Terengganu, kontraktor, perunding serta sub kontraktor terbabit dan diberi tempoh enam bulan bagi menyiapkan laporan itu.
Shaziman berkata, Jawatankuasa Penyiasatan mendapati bumbung stadium yang disiapkan secara tergesa-gesa itu tidak dibina dengan sempurna sehingga berlaku salah jajaran geometri dan menjadi punca keruntuhan struktur ruang kerangka bumbung.
Sementara itu, mengulas lawatan ke jalan susur yang tergendala pembinaannya di sekitar Bukit Kiara dan Sri Hartamas pula, beliau berkata kerajaan akan membantu syarikat konsesi menyelesaikan masalah itu selewat-lewatnya Julai ini.
“Jalan susur yang tergendala pembinaannya selepas Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat Sdn Bhd (Sprint) siap pada 2003, menjadi masalah kepada penduduk setempat kerana mengakibatkan kesesakan teruk saban hari.
“Persimpangan bertingkat yang sepatutnya menjadi laluan khas kepada kenderaan dari Hubungan Kerinchi dan Hartamas ke Hubungan Penchala bagi melancarkan aliran trafik di kawasan Bukit Kiara, tergendala berikutan pemilikan tanah dituntut pihak ketiga.
“Difahamkan, pengambilan tanah membabitkan kos kira-kira RM18 juta dan kementerian akan membantu Sprint mencari penyelesaian terbaik,” katanya.
Shaziman berkata, kira-kira 20,000 kenderaan menggunakan laluan terbabit ketika dibuka tetapi aliran trafik meningkat sehingga 54,000 kenderaan sehari dan penyuraian trafik lebih berkesan perlu dilaksana segera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.