SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengecam tindakan membakar rumah ibadat dan meminta semua pihak bertenang dan mengatasi sebarang masalah berkaitan agama secara matang.
“Saya mengecam tindakan pihak tertentu yang menyerang gereja di sekitar Lembah Klang. Serangan keji itu satu tindakan yang dikecam keras al-Quran. Islam jelas menggesa umatnya menghormati rumah ibadat agama lain.
“Sehingga kini saya difahamkan empat gereja dijadikan sasaran serangan dan aras bawah Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati hangus. Saya bersyukur kerana serangan tersebut tidak mengakibatkan kemalangan jiwa,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, umat Islam perlu bertenang dan tidak terpengaruh dengan tindakan yang boleh menimbulkan kebencian kerana isu ini boleh diselesaikan secara matang.
“Tindakan tidak boleh didasari politik perkauman sempit. Saya yakin rakyat Malaysia akan selesaikan isu ini tanpa konflik,” kata Anwar, yang juga Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR).
Sementara itu, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau terkejut dengan tindakan membakar rumah ibadat dan meminta semua pihak saling menghormati dalam menyelesaikan masalah agama.
“PKR amat sedih dengan insiden yang berlaku dan membantah kerana ia boleh merosakkan keharmonian negara kita. Memandangkan pertikaian mengenai ini adalah masalah keagamaan, kita seharusnya mengamalkan sikap toleransi dan hormat menghormati sebagaimana yang dianjurkan semua agama,” katanya.
Beliau merayu semua pihak bertenang dan pemimpin agama perlu bertindak dengan bijaksana dan tidak mengambil kesempatan atas isu ini.
“Kami merayu kepada semua pihak bertenang dan menangani masalah ini secara damai dan bijaksana. Semua pemimpin agama dan politik harus bertindak secara bertanggungjawab dengan tidak mengambil kesempatan atas isu ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.