HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Januari 2010

Sultan Selangor titah segera selesai kes syariah

BERITA HARIAN ONLINE


SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam menggesa hakim Mahkamah Syariah di negeri itu tidak melengahkan prosiding tanpa alasan yang munasabah dan menyelesaikan kes dalam tempoh masa yang sepatutnya.

“Beta sering mendapat aduan orang ramai mengenai kes Mahkamah Syariah yang tertangguh agak lama hanya disebabkan perkara remeh yang sepatutnya boleh dielakkan seperti hakim menghadiri kursus, peguam syarie mempunyai kes lain, saksi tidak hadir dan prosiding tidak lengkap.

“Beta menyeru Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) mengatasi masalah ini agar kes atau perbicaraan dijalankan mengikut jadual dan diharapkan ia dapat diselesaikan dalam tempoh sepatutnya,” titah baginda pada majlis pengurniaan watikah pelantikan hakim- Mahkamah Syariah Negeri Selangor di Istana Bukit Kayangan di sini, semalam.

Sultan Sharafuddin bertitah keutamaan perlu diberi kepada kes Mal yang membabitkan rumah tangga agar tidak ada yang teraniaya akibat kelalaian pihak tertentu.

“Beta juga tidak mahu lagi mendengar aduan negatif terhadap institusi kehakiman Syariah yang secara tidak langsung menjejaskan imej agama Islam di Selangor,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menyeru hakim Syariah mematuhi etika sebagai hakim yang berwibawa, tegas dan berkeyakinan dalam mengendalikan setiap kes.

Titah baginda, hakim Mahkamah Syariah akan melanggar etika apabila membiarkan kepentingan peribadi bercanggah dengan tugas sehingga menjejaskan kedudukan sebagai seorang hakim.

Baginda menasihatkan hakim melaksanakan keadilan seperti dikehendaki syarak.

“Apabila menjalankan tugas kehakiman, beta berharap hakim Mahkamah Syariah dalam keadaan tenang dan sempurna supaya dapat memberi penghakimannya dengan baik.

“Seseorang hakim Mahkamah Syariah juga mesti tidak dipengaruhi mana-mana pihak yang dihakimi dan mendengar dalam keadaan terbuka hujah kedua-dua pihak,” titah baginda.

Sultan Selangor juga berharap dengan penambahan hakim Mahkamah Syariah di negeri itu, Jakess dapat menguruskan kes Mal dan jenayah serta kes Mahkamah Rayuan secara lebih efisien dan sistematik.

“Sistem E-Syariah sedia ada harus dipertingkat dan diperluaskan penggunaannya agar ia membantu hakim dan kakitangan Jakess mengendalikan rekod dan maklumat mengenai setiap kes dengan lebih berkesan,” titah baginda. - Bernama

Sementara itu, 22 Mahkamah Syariah yang menerima watikah pelantikan di Istana Bukit Kayangan di sini, semalam ialah tujuh Hakim Panel Mahkamah Rayuan iaitu Tan Sri Ibrahim Lembut, Datuk Muhamad Asri Abdullah, Datuk Md Yusup Che Teh, Hussin Ahamad, Datuk Aidi Moktar, Datuk Mahamad Ibrahim dan Mohamad Abdullah.

Pelantikan mereka berkuat kuasa 28 Januari ini untuk tempoh tiga tahun.

Turut menerima watikah pelantikan, semalam ialah Mohammad Adib Husain yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi berkuat kuasa 1 Oktober lalu.

Abdul Halim Abdullah, Ahmad Alwi Embong dan Mohd Anuar Shaari pula dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rendah berkuat kuasa 16 November lalu.

Pada majlis itu, Sultan Sharafuddin turut menyerahkan masing-masing satu watikah kepada Pendaftar Mahkamah Tinggi, Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah dan sembilan watikah pelantikan bagi jawatan Pendaftar Perkahwinan, Cerai Rujuk Orang Islam dan Wali Raja.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Tiada ulasan: