UTUSAN ONLINE
YAN - Masalah penguatkuasaan dan pemantauan sijil serta logo halal yang kurang berkesan dijangka dapat diatasi apabila kerajaan menggubal Akta Halal pada tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kertas cadangan mengenai akta itu sedang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Pejabat Peguam Negara.
Beliau berkata, melalui akta itu, Jakim akan diberi kuasa memantau dan menguatkuasakan perkara berkaitan sijil dan logo halal.
"Pada masa ini, kita hanya mengeluarkan sijil manakala penguatkuasaan dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan," katanya di sini hari ini.
Menurut Jamil Khir, pihaknya menyasarkan untuk membentangkan akta itu di Parlimen pada penghujung tahun ini memandangkan ia adalah antara matlamat yang terkandung dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) seperti dikehendaki Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jelasnya, pada masa ini, logo halal diseragam dan dikeluarkan oleh Jakim dan jabatan agama negeri serta empat syarikat swasta.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.