SHAH ALAM – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang dijatuhkan hukuman oleh Jawatankuasa Disiplin Pas masih mempunyai peluang mengemukakan permohonan rayuan jika tidak berpuas hati dengan keputusan yang diterima.
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) menegaskan, kedua-dua pemimpin Pas Selangor itu boleh menggunakan peruntukan perlembagaan untuk membuat rayuan dalam masa 30 hari dari ianya diumumkan kepada Jawatankuasa Pusat dan Syura sekiranya berasakan hukuman tidak berpatutan.
“Tidak perlu melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap keputusan yang dikenakan kepada diri sendiri atau orang lain dalam blog ataupun media.
“Parti mempunyai banyak tanggungjawab dan tugasan yang lebih berat daripada isu ini,” katanya ketika dihubungi :Sinar Harian, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan terbaru Khalid Abdul Samad di dalam blognya kelmarin, yang mempertikaikan hukuman amaran dikenakan terhadap Hasan.
Khalid kesal apabila ramai yang mengharapkan Jawatankuasa Disiplin mengenakan tindakan yang sewajarnya terhadap pihak yang mencetuskan kemelut di Selangor melalui tindakan yang jelas bercanggah Pakatan Rakyat (PR) dan menyebabkan sehingga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mencadangkan diadakan Muktamar Khas (EGM) hanya dikenakan hukuman amaran.
Katanya, ada yang mengatakan kesalahannya lebih serius kerana melakukan kesalahan terhadap parti sendiri sebaliknya Hasan hanya melakukan kesalahan terhadap orang lain.
Khalid menegaskan, beliau tidak bersedih kerana digantung jawatan sebab berjuang bukan kerana jawatan, sebaliknya beliau sedih apabila hasil keputusan Jawatankuasa Disiplin Pas menyebabkan imej Pas tercemar.
“Selama ini Pas dilihat sebagai ‘weak link’ di Selangor. Apabila disebut kerajaan PR akan jatuh kerana ada yang akan melompat, semua melihat pada Pas sehingga Hasan Ali terpaksa mendedahkan isu ‘Baiah taklik’ untuk meyakinkan PR. Namun tindakan beliau menyanggah beberapa keputusan PR secara terbuka terus mengundang kesangsian.
“Keputusan Jawatankuasa Disiplin mengukuhkan kesangsian ini. Rakyat melihat Pas tidak komited kepada usaha menjayakan PR Selangor kerana yang menimbulkan masalah tidak dikenakan tindakan. Pas terus dianggap mempunyai ‘perancangan rahsia’ dan ‘agenda tertentu’ seolah-olah hanya menunggu masa untuk bersama Barisan Nasional (BN),” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa Pas supaya mengkaji apabila ahli yang melahirkan ketidakpuashatian, bukanlah UMNO yang akan menggunakan kesempatan memainkan isu tersebut sebagaimana dijangka.
“Apabila ahli marah dan seteru tidak, sepatutnya ianya dilihat sebagai satu petanda bahawa ada yang kurang betul. Jangan kita respon dengan memarahi pula ahli sedangkan kemarahan ahli pasti ada sebabnya. Ahli telah sabar menunggu berbulan-bulan untuk melihat penyelesaian tetapi apa yang terhasil adalah sebaliknya. Tidakkah wajar kekecewaan mereka? Maka timbullah berbagai andaian.
“Sebagai pemimpin, kita mesti galakkan kritikan yang membina walau datang dari apa saluran dan dari siapa sekalipun. Janganlah diperlihatkan Pas bagaikan ‘kuku besi’,kamu kritik, kamu dikenakan tindakan.
“Saya setuju kata-kata Pengerusi Jawatankuasa Disiplin, Tuan Ibrahim Tuan Man iaitu kalau anda tidak boleh membantu jemaah, jangan menyusahkan jemaah tetapi malangnya bagi saya, keputusan jawatankuasa itu yang banyak menyusahkan Pas berbanding kritikan dan teguran ahli,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan