Halaman

Isnin, 22 Februari 2010

“Beri peluang kepada siswa tahanan ISA sambung pelajaran” - Homam Abdulalim

Oleh Mohd Ali Bakri


KUALA LUMPUR : Wakil bekas tahanan ISA yang masih menuntut di negara ini, kebanyakannya berasal dari Timur Tengah merayu agar rakan-rakan mereka diberikan peluang menyambung pelajaran di universiti tempatan.

Sementara itu, wakil keluarga tahanan Homam Abdulalim berkata, pihak kerajaan tidak sepatutnya melayan kesemua tahanan luar negara itu sebagai penjenayah.

"Tiada seorang pun dalam kalangan mereka ini adalah golongan yang paling dikehendaki di negara mereka. Mereka bukan penjenayah walau di negara mereka sendiri. Ini yang penting difahami," tambah beliau.

Homam dalam kenyataannya turut membangkitkan pertanyaan, kenapakah rakan-rakannya dihalang untuk menyambung pengajian mereka.

"Salah seorang daripada mereka itu, hanya perlu mengambil satu matapelajaran sahaja lagi untuk menamatkan pelajarannya di sini.

"Dia hanya perlu mengambil satu sahaja matapelajaran bagi melengkapkan syarat pengijazahan PhD beliau di universiti. Bagaimana mungkin mereka mengambil keputusan untuk tidak membenarkan beliau mengambil satu matapelajaran itu?" soal beliau.

Sambil menyebut beberapa nama rakan-rakannya yang masih belajar di peringkat Sarjana, Homam berkata, dia turut kecewa rakan-rakannya yang lain tidak dibenarkan untuk menyambung pelajaran.

"Berikan hak kepada mereka. Mereka berhak untuk menyambung semula pelajaran. Anda tahu, pendidikan adalah masa depan mereka. Anda tahu, mereka ada keluarga. Saya benar-benar kecewa. Saya tidak tahu, mahu kata apa lagi," katanya dengan nada kesal.

Tambah Homam tindakan menyekat pengajian para pelajar dengan sebab penahanan ISA itu adalah suatu tindakan yang salah daripada sudut kemanusiaan.

"Sekurang-kurangnya, beri mereka peluang untuk tamatkan pelajaran dan kemudian, selepas mereka berjaya menamatkan pengajian, teruslah hantar mereka pulang ke negara masing-masing, apa salahnya?" kata beliau lagi.

Sementara itu salah seorang isteri tahanan ISA itu, Bashirah Abdul Salam berkata, suaminya perlu diadili dan diberi peluang untuk menyambung semula pelajarannya seperti orang lain kerana belum dibuktikan kesalahannya.

"Saya bukan harapkan kerajaan menghantar dia kembali ke negaranya, dia hanya perlu diadili di mahkamah seperti yang dikehendaki semua orang.

"Saya merayu kepada pihak kerajaan agar membenarkan suami saya menamatkan pelajarannya. Tolonglah, tolonglah, tolonglah bebaskan suami saya," katanya dengan nada sebak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.