Halaman

Isnin, 15 Februari 2010

Keluarnya Zahrain adalah proses pembersihan parti - AMK Bayan Baru

Oleh Mohd Ali Bakri


KUALA LUMPUR : "Keluarnya Zahrain daripada Parti Keadilan Rakyat (PRK) adalah sebahagian daripada proses pembersihan parti," demikian menurut Ketua Angkatan Muda KeADILan, Cabang Bayan Baru (AMKBB) Ahmad Azrizal Tahir.

Beliau merujuk tindakan keluar parti oleh Ahli Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamad Hashim merangkap bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Bayan Baru baru-baru ini.

"Tindakannya sudah dijangka. Kami melihat ini adalah pembersihan dalam PKR. Keengganannya bersama dalam merealisasikan kesepakatan dalam konvesyen PR di Shah Alam hujung tahun lalu adalah tanda jelas bahawa beliau akan berpaling dari landasan perjuangan membela rakyat sebagai nawaitu utama.

"Sikapnya yang terus menggunakan saluran media serta secara terbuka mengkritik Lim Guan Eng dan Anwar Ibrahim tatkala negara dibayangi dengan kes fitnah liwat kali ini seolah-olah ada terselindung kepentingan tersendiri," kata Ahmad Azrizal.

Kata beliau, pihaknya menyokong kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang yang dilihat berjaya membawa perubahan kepada kerajaan negeri di bawah seruan dasar Cekap-Akauntabiliti-Telus (Cat) sebelum ini.

"Perjuangan bermaruah akan terus dijunjung bagi memastikan rakyat Pulau Pinang dan Bayan Baru khususnya terus maju dibawah kerajaan Pakatan Rakyat," tambah beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.