Halaman

Sabtu, 20 Februari 2010

‘Kelulusan khas’ di KDN punca sebenar kebanjiran pekerja asing? - Idris Ahmad

Oleh Mohd Ali Bakri

KUALA LUMPUR : Bahagian Pengurusan Pekerja Asing, Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu bertanggungjawab penuh terhadap kebanjiran pekerja asing yang berlaku hari ini, kata Ketua Penerangan Pas Idris Ahmad.

"Ketelusan pengeluaran permit pengambilan pekerja asing masih boleh dipertikaikan kerana kerajaan beberapa kali membekukan kemasukan pekerja asing dari beberapa negara tetapi secara senyap-senyap ada pula 'kelulusan khas' daripada pihak menteri," kata beliau.

Kata Idris, pihaknya difahamkan sebelum ini, bahawa dalam bahagian pengurusan pekerja asing, terdapat tiga jenis kelulusan.

"Pertamanya, kelulusan daripada pegawai penilai (ikut prosedur biasa). Keduanya, kelulusan daripada pegawai atasan sehingga peringkat KSU (Rayuan) dan ketiganya, 'kelulusan khas' daripada pihak menteri atau setiausaha-setiausahanya," tambah beliau lagi.

Paling membimbangkan, tambah beliau, 'kelulusan khas' ini dikeluarkan daripada pejabat menteri kerana terdapat beberapa kes yang memang tidak layak atau syarikat-syarikat yang diberi konsensi khas bagi membawa masuk pekerja asing untuk diagih-agihkan oleh ejen-ejen lain.

"Paling menarik, selama ini kita hanya mendengar permit pembantu rumah dalam kalangan wanita, kini sudah ada permit untuk pembantu rumah dalam kalangan lelaki pula.

"Kami harap kerajaan mengambil langkah serius bagi mengawal masalah ini dan berharap agar undang-undang serta penguatkuasaan dipertingkatkan bagi memastikan negara ini masih kekal berwajah Malaysia," kata beliau.

Dalam perkembangan berkaitan Idris berkata, perberhentian kontrak kerja rakyat tempatan bermula Mac depan boleh digunakan kerajaan untuk menggantikan tenaga kerja buruh asing ini.

"Pas kesal kerana kerajaan gagal mengawal kebergantungan negara terhadap pekerja asing sedangkan berpuluh ribu pekerja tempatan bakal menganggur selepas ditamatkan kontrak oleh Jabatan Perkhidmatan Awam bermula Mac depan ini," tambah beliau lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.