KEMISKINAN menjadi punca 6,000 penduduk di Kelantan mengalami masalah penglihatan, kata Penyelaras Projek Khidmat Masyarakat Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn, Dr N.Jaganathan.
Jumlah itu, katanya berdasarkan kajian yang telah dijalankan kerana setiap rawatan mata memerlukan kos yang tinggi.
Katanya penduduk di negeri itu didapati mengalami masalah penglihatan, termasuk buta, berikutan tidak menjaga kesihatan mata dengan membuat rawatan di mana-mana klinik berdekatan semasa berlaku kabur di peringkat awal sebelum menjadi parah.
"Berikutan itu, hospital mata bersama Persatuan Orang Buta Malaysia menubuhkan cawangannya di Kelantan di Jalan Telipot, Kota Bharu, mulai 2005 bagi membantu mereka yang tidak berkemampuan mendapat khidmat rawatan secara percuma.
"Selain ramai yang buta, di Kelantan juga kita dapati terdapat 20,000 orang berpenglihatan terhad manakala di seluruh negara, penghidap katarak yang perlu mendapat pemeriksaan mata setiap masa mencatatkan peratusan tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majis perasmian Program Pembedahan Mata Khidmat Masyarakat Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn, di perkarangan Hospital Gua Musang hari ini yang dilakukan oleh Ketua Jajahan Gua Musang, Abdullah Md Yusoff.
Program itu berlangsung selama lima hari membabitkan lebih 50 pesakit yang dikategorikan kritikal dan memerlukan pembedahan mata melalui program terbabit.
Dr Jaganathan berkata objektif utama Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn adalah untuk mengesan dan merawat katarak serta pterigium kepada semua penduduk di kawasan pedalaman Kelantan sebelum masalah itu sampai ke peringkat kritikal hingga memerlukan pembuangan selaput dan pembedahan.
Katanya program itu juga merupakan misi untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan mata bagi pencegahan kebutaan di kalangan penduduk.
"Dalam pemeriksaan mata yang kita adakan di seluruh daerah Gua Musang, terdapat 394 penduduk yang memerlukan rawatan susulan dan selepas pemeriksaan tapisan hanya kira-kira 50 orang daripada mereka kritikal," katanya.
Beliau berkata program terbabit adalah yang kelapan diadakan di Kelantan dan dianggap paling berjaya berikutan mendapat sambutan penduduk terutama membabitkan orang dewasa serta golongan miskin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.