HALAMAN SANTAI

Isnin, 22 Februari 2010

Kenapa Umno tidak pertikai negeri tiada perarakan

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno perlu memberikan jawapan kenapa mereka membuat bantahan terhadap isu perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang sedangkan tiga negeri yang diperintah Umno/BN mengumumkan tidak mengadakan sebarang perarakan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad secara sinis berkata, bergegar tujuh petala langit apabila mendengar Umno begitu nekad dan bersemangat memperjuangan perarakan Maulidur Rasul yang umum mengetahui bahawa itu bukanlah sebahagian amalan yang dituntut atau diwajibkan oleh Islam.

“Kerajaan Pulau Pinang dituduh sebagai cuba menindas orang Melayu dan cuba menafikan hak mereka untuk berarak. Umno menuduh Kerajaan Pakatan cuba melenyapkan syiar Islam dan macam-macam lagi pertuduhan yang bersifat rasis dan melampau,” ujarnya.

Akhirnya, kata beliau, kejahilan Umno ditampar oleh jabatan agama di tiga buah negeri yang mereka perintah apabila Jabatan Agama Islam Johor, Pahang dan Perlis memaklumkan minggu lepas kepada wartawan Malaysiakini bahawa mereka tidak akan mengadakan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul tahun ini, kerana ia tidak dituntut oleh Islam.

“Mujurlah masih ada jabatan agama yang berani untuk menempelak kejahilan Umno ini. Jika tidak Umno akan terus jadi kaduk naik junjung dan menatang penuh kejahilan mereka atas dasar politik dendam kesumat,” katanya.

Menurutnya, seluruh negara tahu, Umno kini bagai cacing kepanasan selepas kalah PRU ke-12 dan setiap bulan mereka mencari alasan untuk mengadakan demonstrasi seluruh negara.

Katanya, setiap hari mereka memikir untuk cari isu untuk menghentam Kerajaan Pakatan Rakyat dengan cuba menjadi juara rakyat dan juara Islam.

“Setelah modal 'Melayu' tidak laku, mereka mereka cuba jual 'Islam' untuk kepentingan politik mereka. Tapi rakyat tidak bodoh, Umnolah yang jahil.

“Kepada seluruh ahli PAS dan rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama membaca surah Yaasin supaya Allah memberi hidayah kepada ahli Umno sempena meraikan Maulidur Rasul. Rasulullah s.a.w. sepanjang hidupnya tidak pernah berhenti berdakwah, hatta kepada orang munafik dan fasiq,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, PAS yakin ramai ahli Umno yang semakin cerdik hari ini dan mahu memilih Islam sebagai jalan perjuangan tetapi mungkin kerana takut hilang kesenangan dunia, mereka masih ragu-ragu untuk tinggalkan Umno.

“Kita bacalah Yasin dan doakan semoga mereka diberikan hidayah untuk tinggalkan Umno dan menyertai perjuangan Islam yang sebenarnya.

“Tinggalkan perjuangan perkauman yang sempit kerana akhir hidup ini hanyalah liang lahad yang dinisankan dengan tulisan jawi dengan malaikat sedia menanti,” ujarnya.

Tiada ulasan: