HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Februari 2010

MTUC mahu syarikat baja kena tindakan

BERNAMA


PELABUHAN KLANG: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu tindakan diambil ke atas sebuah syarikat pengeluar baja di Klang yang didakwa menggunakan asid borik tanpa langkah keselamatan yang betul dan memberhentikan 11 pekerja yang mengadu sakit akibat terdedah kepada racun itu.

Naib Presiden MTUC, A Balasubramaniam meminta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) untuk campur tangan sambil berkata pekerja syarikat itu tidak menyedari mereka menggunakan asid borik kerana pengurusan membuang label daripada bekasnya.

“Ia hanya secara kebetulan apabila seorang pekerja ternampak label pada satu daripada bekas itu dan memaklumkan kepada rakan-rakan pekerja dan MTUC," katanya kepada Bernama.

Katanya, 11 pekerja mengalami penyakit kulit manakala seorang lagi menderita di bahagian sulitnya berikutan terdedah dengan asid itu dan 11 pekerja diberhentikan apabila mereka membangkitkannya dengan pengurusan.

Balasubramaniam berkata, syarikat itu memberikan alasan yang lemah bagi memberhentikan mereka seperti "prestasi buruk" dan "enggan menghadiri inkuiri syarikat."

Beliau berkata, MTUC mendapati bahawa syarikat gagal menyediakan langkah-langkah keselamatan kepada pekerja.

Katanya, ini adalah satu tindakan pelanggaran undang-undang yang serius dan MTUC mahu DOSH untuk mengambil tindakan tegas terhadap syarikat itu.

Asid borik adalah racun yang berbahaya. Mereka yang mengalami keracunan asid borik akan mengalami simpotom seperti muntah dengan warna hijau kebiru-biruan, cirit birit dan ruam berwarna merah terang pada kulit.

Tiada ulasan: