BERNAMA
KUALA LUMPUR – Kerajaan meluluskan permohonan 100,000 pekerja asing baru untuk bekerja di negara ini dalam tempoh lima bulan lepas bagi memenuhi keperluan pelbagai syarikat pembuatan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan tetap komited untuk mengurangkan jumlah pekerja asing di negara ini dan langkah berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
Jumlah pekerja asing di negara ini menurun daripada 2.2 juta kepada kira-kira 1.6 juta sejak awal tahun lepas, katanya kepada pemberita selepas melancarkan penjenamaan semula Q-Performance Consultant Sdn. Bhd. di sini.
“Kami perlu lakukannya secara beransur-ansur kerana permintaan syarikat untuk mengambil pekerja asing semakin meningkat apabila mereka perlu meningkatkan pengeluaran berikutan pemulihan ekonomi,” kata beliau apabila ditanya sama ada sasaran kerajaan untuk mengurangkan jumlah pekerja asing dapat dicapai menjelang akhir tahun ini.
Dr. Subramaniam berkata, 100,000 permohonan baru itu diluluskan dalam tempoh Oktober tahun lepas hingga bulan ini bagi memenuhi permintaan empat industri, iaitu elektronik, plastik, perabot dan sarung tangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.