HALAMAN SANTAI

Rabu, 17 Februari 2010

Poster tiada permit - Ronnie

UTUSAN ONLINE


SHAH ALAM - Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan negeri, Ronnie Liu mendakwa poster sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri di Pandamaran, Sabtu ini, tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau bagaimanapun menafikan tindakan menurunkan poster tersebut dibuat atas arahannya.

Menurutnya, tindakan tersebut diambil sendiri oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK).

"Sekiranya mereka tidak meminta permit untuk menggantung sebarang iklan, ia adalah satu kesalahan. Mengenai papan iklan sambutan Tahun Baru Cina di Pandamaran, saya difahamkan penganjur tidak memohon permit.

"Bagaimanapun, saya tidak halang sambutan itu diadakan. Tindakan menurunkan papan iklan itu juga bukan atas arahan saya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan MPK menurunkan papan iklan sambutan Tahun Baru Cina peringkat kebangsaan di Kampung Baru Pandamaran, Klang yang dijadualkan berlangsung 20 Februari ini.

Papan iklan yang memaparkan potret Najib serta perkataan mengalu-alukan Perdana Menteri ke sambutan perayaan itu diturunkan oleh MPK kira-kira pukul 2 pagi, 13 Februari lalu.

Dalam pada itu, Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran menafikan tindakan menurunkan papan iklan tersebut sebagai cubaan mensabotaj program itu yang berlangsung serentak dengan majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran kerajaan negeri di Jenjarom, Banting.

Katanya, dakwaan itu tidak benar memandangkan beliau sendiri telah menasihatkan Yang Dipertua MPK, Mislan Tugiu supaya meluluskan permohonan untuk mengadakan sambutan perayaan berkenaan di daerah berkenaan.

"Dakwaan ini adalah fitnah. MPK tidak boleh halang sambutan itu, kalau Perdana Menteri datang ke kawasan kita, kita mesti hormat dan ucap selamat datang," jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Klang, Datuk Dr. Teh Kim Poo ketika dihubungi mengakui pihaknya tidak membuat permohonan untuk menggantung papan iklan berkenaan.

Jelasnya, beliau difahamkan permohonan pihaknya untuk menggantung poster dan iklan sempena sambutan perayaan itu tidak akan diluluskan oleh MPK.

"Jadi apa sebab nak mohon permit sedangkan kita sudah tahu permohonan kita tidak akan diluluskan. Sekiranya Ronnie memberi jaminan dengan mengatakan dia telah menasihatkan MPK untuk memberi kelulusan, kita akan buat permohonan esok pagi.

"Jadi kita mahu tengok esok, sama ada MPK luluskan atau tidak. Lagipun, papan iklan ini serta sambutan ini bukan program politik," tambahnya.

Kim Poo berkata, kalau tidak mendapat permit juga, poster tersebut akan tetap dipasang sehari sebelum program sambutan Tahun Baru Cina bersama Perdana Menteri itu.

Tiada ulasan: