Halaman

Selasa, 23 Februari 2010

Pulau Pinang timbang denda pengguna air berlebihan

BERNAMA


GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang sedang menimbang cadangan untuk mengenakan penalti terhadap mereka yang mengguna air secara berlebihan di negeri itu sebagai langkah mengatasi masalah pembaziran air.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata pada masa sama insentif seperti diskaun tarif air akan diberi kepada mereka yang menggunakan air di bawah paras tertentu.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata walaupun piawaian antarabangsa menetapkan tahap penggunaan air bagi seseorang adalah 160 liter sehari tetapi tahap penggunaan air penduduk Pulau Pinang adalah 285 liter seorang sehari.

"Kita telah cuba memujuk, merayu dan memberi saranan untuk menjimat penggunaan air dan ia didapati tidak berkesan, dan sebagai langkah untuk mengurangkan penggunaan air, kita menimbang cadangan untuk mengenakan penalti kepada yang guna air lebih dan insentif atau ganjaran kepada yang guna air kurang," katanya.

Beliau berkata, cadangan itu akan dibawa kepada lembaga PBA Holdings Bhd, syarikat yang mengendalikan bekalan air di Pulau Pinang, pada Mac atau April ini sebelum ia dikemukakan kepada Exco Kerajaan Negeri untuk pertimbangan.

Guan Eng berkata, proses untuk perakuan cadangan itu mungkin mengambil masa tiga bulan sebelum dilaksanakan.

Katanya, kegunaan air secara berlebihan di Pulau Pinang mungkin disebabkan tarif air negeri itu adalah yang terendah di negara iaitu 31 sen seliter.

Beliau berkata, kadar tarif air itu adalah di bawah kos dan kerajaan negeri tidak bercadang untuk menaikkannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.