Tarmizi Mohd Jam
KUALA LUMPUR: Setelah BN puas 'bergelembung' dan menjanjikan pelbagai jalan penyelesaian, akhirnya tiada sebarang keputusan dicapai oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Menteri Wilayah Persekutuan berkenaan kedudukan tujuh kampung tradisi yang bakal dilanggar Draf KL 2020 ini.
Tujuh kampung tersebut ialah Kg. Puah, Kg. Sungai Merali, Kg. Bandar Dalam, Kg. Sungai Mulia, Kg. Chubadak, Kg. Selayang Lama dan Kg. Padang Balang.
Ekoran itu, PAS Kawasan Batu bertindak menggempur kebobrokan dan langkah tidak bertanggungjawab kerajaan yang cuba untuk 'merampas' tujuh kampung tradisi itu, yang dikategorikan sebagai tanah rizab Melayu.
Menurut Timbalan Yang Dipertuanya, Haji Suhaimi Abdul Rahman, PAS akan membawa tokoh-tokoh utama pembangkang, antaranya Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat; Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Presiden KeADILan, Dato' Seri Wan Azizah Ismail; Menteri Besar kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim.
Selain mereka, Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said serta beberapa tokoh rakyat seperti Mohamad Sabu, Dr Nasir Hashim, dan Datuk Paduka Husam Musa untuk 'tinjau terjah' kawasan ini disamping mengadakan dialog dengan para penduduk setempat.
Untuk itu, pada Sabtu, 6 Februari ini (esok), Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub bersama Adun Hulu Klang, Shaari Sungip serta Pengerusi Majlis Permuafakatan Kampung Tradisi Melayu (Muafakat), Haji Ishak Surin akan menggempur kawasan terbabit pada majlis ceramah yang bakal diadakan di Pasti Kg. Padang Balang, Sentul, jam 9.30 malam.
Senaskah memorandum akan disampaikan kepada Salahuddin agar ia terus diperjuangkan pada Sidang Parlimen Mac ini.
Sehingga kini Datuk Bandar masih enggan bertemu penduduk sebaliknya pula, Umno Bahagian Batu berhempas pulas 'memujuk' mereka bagi menjayakan Draf KL 2020 ini kononnya, inilah masanya tuan tanah menerima pembangunan dan kemajuan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.