Halaman

Ahad, 21 Februari 2010

Sebat: Puteri UMNO sokong

UTUSAN ONLINE


PAPAR - Pergerakan Puteri UMNO menyokong pelaksanaan hukuman sebat ke atas wanita asalkan ia dilakukan mengikut peruntukan undang- undang negara. Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin menegaskan, pelaksanaan hukuman tersebut juga tidak harus dipertikai dan disensasikan kerana ia akan mengundang pihak luar untuk mempersendakan undang-undang negara.

''Ia (hukuman sebat) mesti dilaksanakan jika ia sebahagian daripada tuntutan undang-undang. Apa yang berlaku sekarang adalah isu ini sudah disensasikan," katanya ketika diminta mengulas pendirian Puteri UMNO berhubung pelaksanaan hukuman sebat ke atas wanita.

Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kesihatan berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan majlis aqiqah dan cukur jambul anak sulungnya, Fahd Putera Rayyan Shirlin di Kampung Riggi, Pengalat Kecil di sini hari ini.

Kelmarin Sisters in Islam (SIS) mendakwa, tindakan Jabatan Penjara pada 9 Februari lalu merotan tiga wanita Islam atas kesalahan mengadakan persetubuhan haram sebagai satu diskriminasi terhadap wanita.

Pertubuhan itu mendakwa tindakan merotan itu mencabuli hak sama rata dan tiada diskriminasi yang dijamin oleh Perlembagaan kerana wanita tidak boleh disebat menurut Seksyen 289, Akta Kanun Jenayah.

Sementara itu, mengulas mengenai kritikan bekas ahli jawatankuasa Pemuda UMNO Kuala Kedah, Norhisyam Mohamad bahawa program Puteri UMNO tidak menepati konsep Juara Rakyat, beliau berkata, dakwaan itu tidak tepat.

Katanya, program Fiesta Tarian Melayu Kreatif dan Fesyen Kebaya Puteri UMNO yang dianjurkan baru-baru ini adalah selari dengan sasaran yang telah dipertanggungjawabkan kepada Puteri untuk menarik orang muda.

''Sebagai pengetahuan, 80 peratus peserta dan mereka yang hadir adalah terdiri daripada remaja yang belum menjadi ahli Puteri UMNO. Ini menunjukkan kita berjaya menarik orang muda datang.

''Selain itu, setiap program Puteri diatur dengan mengambil kira minat remaja setempat. Oleh kerana remaja di Sabah sukakan acara kebudayaan dan menghormati pakaian tradisi, jadi kita adakan majlis seumpama itu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.